fbpx

[KEMASKINI] 11 kenderaan terbabit kemalangan – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
11 kenderaan dilaporkan terbabit kemalangan di Kilometer 139.2 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Perai hari ini.

SEBERANG PERAI – Polis mengesahkan 11 buah kenderaan terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 139.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Perai di sini yang menyebabkan kesesakan teruk sejauh kira-kira 15 kilometer hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 2.40 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan itu berlaku apabila sebuah bas dari arah Butterworth di sini menuju ke Ipoh, Perak disyaki hilang kawalan dan melanggar sebuah kenderaan di hadapan.

“Seterusnya, bas itu melanggar sembilan lagi kenderaan lain yang dalam laluan sama.

“Beberapa mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Shafee berkata, pihaknya meminta pengguna labuh raya yang menyaksikan kejadian tersebut untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd. Sufi Abdul Razak di talian 013-477 4542 atau 04-538 2222 bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan lebuh raya itu sesak teruk sejauh kira-kira 15 kilometer sehingga ke Plaza Tol Sungai Dua, Butterworth apabila kedua-dua lorong terhalang ekoran kejadian itu.

Kejadian dikatakan berlaku selepas sebuah bas ekspres melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire di lorong kanan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain di hadapannya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI