fbpx
Nor Afiza mengakui keluar dari rumahnya tanpa dipaksa mana-mana pihak pada 16 Jun lalu dan enggan diganggu sesiapa.

Nor Afiza selamat, nafi diri diculik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPING – Polis mengesahkan Nor Afiza Zainuddin, 41, yang dilaporkan hilang sebelum ini telah ditemui dan tidak diculik oleh mana-mana pihak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd. Ariffridzuan Ezahar berkata, wanita tersebut yang dilaporkan hilang pada 18 Jun lalu telah tampil di Balai Polis Kajang, Selangor pada pukul 3 petang tadi.

Beliau berkata, Nor Afiza membuat satu laporan polis bagi menafikan dakwaan bahawa dia telah diculik.

“Melalui laporan polis yang dibuat, orang hilang (OH) turut memaklumkan bahawa dia tidak mahu diganggu oleh ahli keluarga mahupun mana-mana pihak,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, Nor Afiza menjelaskan bahawa dia telah keluar dari rumah pada 16 Jun lalu dengan kerelaan hati sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana individu.

“Keterangan OH telah selesai dirakam dan pihak polis mengesahkan bahawa laporan yang dibuat adalah benar serta mendapati dia berada dalam keadaan baik, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian ini yang boleh menimbulkan kegusaran kepada awam dan masyarakat setempat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Nor Afiza dilaporkan hilang setelah keluar dari kediamannya di No. 19, Lorong Mewah 16, Taman Mewah, Kamunting.

Dia dikatakan keluar untuk menghadiri sesi temuduga di Hotel Casuarina Kuala Kangsar sebelum didapati hilang oleh ahli keluarganya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN