fbpx
Alvn kembali mewarnai persada muzik tempatan menerusi Syarat Cinta, sebuah naskhah menyentuh sisi cinta lebih matang, jujur dan sederhana. 

Kadang-kadang, syarat cinta bagi saya cuma satu – Alvn

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ADA karya lahir sekadar mengisi ruang industri, namun tidak kurang juga tercipta daripada ilham rasa paling dalam sehingga mengundang seribu persoalan. 

Begitulah aura mengiringi kemunculan single terbaharu pelakon dan penyanyi, Alvn apabila bait-bait Syarat Cinta membuatkan ramai tertanya-tanya, adakah lelaki itu sebenarnya sedang dilamun asmara atau sekadar bercerita melalui bahasa muzik.

Selepas agak lama menyepi daripada karya solo, pemilik nama sebenar nama sebenar Alvin Chong Chean Wah itu kembali mewarnai persada muzik tempatan menerusi Syarat Cinta, sebuah naskhah menyentuh sisi cinta lebih matang, jujur dan sederhana. 

Kemunculan lagu tersebut pantas mengundang spekulasi dalam kalangan peminat sehingga ada mendakwa penyanyi itu kini sedang melalui fasa paling bahagia bersama insan istimewa. 

Biarpun tidak mengulas mengenai status peribadi, jejaka berketurunan Tionghua  itu memilih menjawab segala teka-teki menerusi karya lahir daripada pemerhatian terhadap makna sebenar sebuah perhubungan.

Ditulis bersama MsOrangelisa, Syarat Cinta mengangkat mesej bahawa cinta sejati tidak pernah memerlukan terlalu banyak syarat atau tuntutan tetapi kebahagiaan paling indah hadir apabila dua hati terus memilih insan sama setiap hari, menempuh suka duka bersama sehingga ke penghujung usia.

Menurutnya, inspirasi lagu tersebut tercetus selepas melihat cara manusia mentafsir cinta berubah seiring pertambahan usia dan kematangan hidup.

“Semakin dewasa, kita sedar cinta bukan lagi mengenai perkara besar atau rumit.

“Kadang-kadang syarat cinta cuma satu, memilih insan sama setiap hari dan terus setia meniti perjalanan hidup hingga ke penghujung usia.

“Itulah makna cinta sebenar buat saya,” katanya.

Melodi lembut dipadankan lirik dekat dengan realiti menjadikan Syarat Cinta sebuah karya mudah menyelinap ke dasar jiwa. 

Bukan hanya menonjolkan kematangan daripada sudut penulisan, lagu tersebut turut memperlihatkan evolusi Alvn sebagai penyanyi dan pencipta lagu dengan sentuhan lebih jujur, sederhana tetapi meninggalkan kesan mendalam.

Lebih istimewa, Syarat Cinta dipilih sebagai lagu tema rasmi (OST) drama Viu Original, Ate Kome, I Love You! Keputusan tersebut dianggap tepat memandangkan jalan ceritanya sarat dengan elemen kasih sayang, hubungan kekeluargaan serta pencarian makna cinta sebenar.

Projek berkenaan diterbitkan MsOrange Solutions Creative bersama Rhunut Music menerusi gabungan penerbitan muzik dan muzik video dalam sebuah konsep kreatif menyeluruh. 

Keserasian elemen visual, muzik serta penceritaan menjadikan karya tersebut tampil lebih beremosi dan dekat dengan penonton.

Menambahkan lagi kesinambungan antara dunia muzik dan drama, muzik video berkenaan turut menampilkan pelakon Siti Khadijah Halim, pemeran utama Ate Kome, I Love You!, sekali gus mengukuhkan hubungan naratif antara lagu dan naskhah drama tersebut.

Secara keseluruhannya, Syarat Cinta adalah sebuah lagu romantik meraikan kesetiaan, kemanusiaan serta keindahan memilih untuk terus mencintai insan sama setiap hari.

Lagu itu kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasminya sudah boleh ditonton menerusi YouTube.



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN