NILAI – Seorang pekerja ladang maut selepas kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan trak pikap di Batu 10, Jalan Pantai-Jelebu, di sini petang tadi.
Kemalangan pada pukul 5.03 petang itu mengorbankan mangsa lelaki berusia 45 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Pemandu trak pikap jenis Mitsubishi Triton yang juga penyelia ladang, 45 tahun mengalami kecederaan di kepala serta luka di lengan serta tangan kanan, dan dibawa ke sebuah hospital swasta di Seremban untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, siasatan awal mendapati Mitsubishi Triton dipandu penyelia ladang dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Pantai, manakala Perodua Bezza dipandu pekerja ladang pula dari arah bertentangan.
“Setibanya di lokasi kejadian, Perodua Bezza dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan trak pikap. Akibatnya pemandu kereta cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya ketika dihubungi. – KOSMO! ONLINE














