fbpx
IKAN tenggiri yang berjaya dijinakkan pemancing di Pulau Kendi.

Pulau Kendi jadi lubuk buruan kaki pancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGi pemancing tegar, mereka sememangnya mempunyai pengetahuan yang jitu tentang lokasi yang mempunyai banyak ikan terutama ikan bersaiz besar.

Minggu ini, kolum  Gewang membawakan salah satu lubuk yang sering diperkatakan pemancing iaitu kawasan perairan Pulau Kendi di Pulau Pinang yang sememangnya menjadi kawasan kegemaran kaki pancing sejak dahulu lagi.

Bagi mereka yang selalu ke kawasan berkenaan, pasti membawa pulang hasil tangkapan yang tidak menghampakan seperti tenggiri, kerapu, jenahak dan sebagainya.

Di Pulau Kendi juga, kaki pancing dapat beradu tenaga menguji kekuatan diri dan juga peralatan dengan spesies-spesies ikan yang agak ganas rentapannya seperti GT dan jenahak.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————-

PULAU Kendi merupakan sebuah pulau kecil terletak di perairan selatan Pulau Pinang.

Terkenal dengan airnya yang jernih, ia menjadi syurga buat kaki pancing yang memburu pelbagai spesies ikan bersaiz besar seperti ikan GT, kerapu dan jenahak.

Bagi seorang tekong bot memancing, Mohd. Nasir Mohd. Shah, 33, Pulau Kendi lokasi dambaan yang sentiasa diidam-idamkan untuk dikunjungi oleh kaki pancing.

Malah, Mohd Nasir berkata, kaki pancing adalah pengunjung terbesar ke Pulau Kendi yang jaraknya sekitar lima batu nautika dari jeti di pantai Teluk Kumbar.

Mohd. Nasir yang menawarkan perkhidmatan bot memancing ke Pulau Kendi berkata, dia menjalankan perkhidmatan sewa bot ke pulau tersebut dan kawasan sekitar setiap hujung minggu.

“Pulau Kendi terkenal sejak dahulu dalam kalangan kaki pancing. Air yang jernih serta kewujudan terumbu karang menjadikan kawasan itu kaya dengan pelbagai spesies ikan.

“Antara ikan yang kerap dijinakkan di sini adalah kerapu, GT, jenahak dan ada juga ikan dari kawasan luar seperti ikan tongkol dan tenggiri bermain-main di kawasan ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd Nasir, untuk mendapatkan ikan bersaiz besar, pemancing tidak perlu pergi jauh sepertimana kita perlu memancing hingga di kawasan pelantar minyak, cukup sekadar melabuhkan umpan di Pulau Kendi.

IKAN kerapu gergasi antara ikan besar yang ditangkap pemancing di Pulau Kendi.

“Ikan GT dan kerapu paling kerap dijinakkan di sini oleh pemancing kerana di sini memang lubuk ikan.

“Jika pemancing bernasib baik, mereka boleh melihat penyu atau ikan lumba-lumba yang kerap mencari makanan di perairan ini,” katanya.

Ujarnya, di Pulau Kendi juga, kaki pancing dapat beradu tenaga menguji kekuatan diri dan juga peralatan dengan spesies-spesies ikan yang agak ganas rentapannya seperti GT dan jenahak.

“Kadang-kadang ada pemancing yang terpaksa berputih mata apabila ikan terlepas setelah tali pancing mereka terputus.

“Ada juga ikan yang gemar menarik tali sehingga ke kawasan terumbu karang. Jadi, usaha untuk menaikkan ikan akan menjadi lebih mencabar.

“Rasa teruja dan skil pemancing akan teruji apabila berdepan dengan situasi ikan melarikan tali pancing ke terumbu,” katanya.

Tambahnya, peralatan seperti rod, kekili yang cukup baik dan lasak menjadi taruhan sama ada berjaya atau tidak menaikkan spesies ini.

Mohd. Nasir memberitahu, antara teknik memancing yang kerap digunakan di Pulau Kendi adalah teknik micro jigging.

“Ia merupakan satu cabang teknik memancing yang menggunakan kepingan besi (jig) sebagai umpan.

Jig tersebut menyerupai bentuk ikan dan lazimnya kepingan micro jig bermula dari berat sekitar 7 gram (g) hingga 20 g.

“Lazimya, joran micro jigging mempunyai blank yang halus serta sensitif pada bahagian hadapan.

IKAN kerapu sering dilihat bermain-main di perairan Pulau Kendi.

“Jig biasanya dilontar agak jauh dari bot dan ditarik dengan cara mengangkat tinggi hujung joran.

“Jig selalunya dapat memperdaya spesies ikan kategori besar seperti kerapu,” katanya lagi.

Tambahnya, pemancing terutamanya dari sekitar negeri Perak dan Kedah yang pernah memancing di Pulau Kendi pasti akan kembali lagi ke situ.

Ini kerana, setiap kali singgah ke Pulau Kendi, hasil tangkapan yang diperoleh tidak pernah mengecewakan sesiapa sahaja.

Bagi mereka yang mahu merasai sendiri pengalaman memancing di Pulau Kendi, boleh meninjau laman Facebook memancing di Pulau Pinang atau boleh menghubungi talian 013-4167214.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN