GEORGE TOWN – Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) berjaya mencatatkan penyertaan tertinggi tahun ini iaitu seramai 6,300 peserta sempena Heritage Run 2026 yang berlangsung di Padang Kota Lama di sini, semalam.
Lebih menarik, program yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mempromosikan warisan budaya Pulau Pinang serta menyokong usaha kelestarian dan pembangunan komuniti.
Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Alliance Bank, Ronnie Royston Fernandiz.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kellee Kam berkata, sambutan yang diadakan kali keempat itu telah membuktikan Heritage Run semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, termasuk pelancong luar negara.
Menurut beliau, acara itu sememangnya berpotensi muncul sebagai antara larian berprestij di Pulau Pinang pada masa hadapan.
“Pada asasnya, acara sukan merupakan platform untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat sambil menghargai seni warisan dan budaya tempatan di Pulau Pinang.
“Sebagai The Bank for Life, kami komited membina komuniti yang lebih sihat selain menyokong pertumbuhan yang mampan,” katanya di sini.
Pada majlis sama, Alliance Bank turut melancarkan KM TO RM Challenge 2026 iaitu cabaran simpanan berkonsepkan lari-untuk-ganjaran (run-to-earn) yang pertama diperkenalkan di Malaysia.
Cabaran yang berlangsung dari Ogos hingga Oktober depan itu menawarkan ganjaran kepada peserta yang konsisten mencapai sasaran larian bulanan menerusi aplikasi BiiB, selain menggalakkan amalan menabung melalui Alliance Bank Basic Savings Account/-i.
Kellee berkata, disiplin untuk mengekalkan gaya hidup aktif mampu membentuk sikap lebih berdisiplin dalam mengurus kewangan.
“Melalui KM TO RM Challenge 2026, kami mahu menggalakkan rakyat Malaysia terus aktif, konsisten dan menikmati ganjaran hasil usaha membina kesihatan serta kewangan yang lebih kukuh,” ujarnya.
Heritage Run 2026 menawarkan tiga kategori iaitu Larian Keluarga sejauh tiga kilometer (km), Larian Kompetitif 10km dan Larian Separuh Maraton 21km dengan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM24,400.
Bagi menyemarakkan semangat kekeluargaan, penganjur turut memperkenalkan Cabaran Keluarga Berpakaian Terbaik bagi kategori tiga kilometer yang menyaksikan peserta tampil dengan pelbagai busana tradisional.
Dalam kategori utama 21km, pelari kebangsaan, Yeow Ni Jia muncul juara kategori terbuka lelaki, manakala Melanie Goh See Ler menjuarai kategori terbuka wanita.
Semua pemenang kategori turut menerima medal penamat dan hadiah wang tunai sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian masing-masing.
Sejajar komitmen terhadap kelestarian alam, penganjur telah memperkenalkan pelbagai inisiatif mesra alam termasuk penggunaan medal buluh yang diperoleh secara lestari, beg kanvas guna semula serta baju-T yang diinspirasikan daripada elemen warisan Pulau Pinang seperti kebaya, mi udang dan kasut manik. -KOSMO! ONLINE















