Trip pancing bermalam di dalam bot ini memperkenalkan kumpulan kami dengan lubuk-lubuk ikan terbaik di perairan Balok, Kuantan, Pahang yang dihuni pelbagai spesies ikan dasar berkualiti.
Sebagai seorang yang sudah pencen, masa terluang sentiasa ada. Jadi, saya menunggu sahaja jika ada trip memancing yang kekurangan ahli.
Trip memancing yang dipanggil ‘selit-selit’ ini seronok juga disertai kerana saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan baharu.
Pada masa sama, saya juga dapat belajar ilmu memancing terkini daripada generasi muda atau sekadar berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan seusia.
Paling penting, set memancing saya perlu sentiasa tip-top dan tersedia, ada peluang terus sahaja saya sertai mana-mana trip tanpa memeningkan kepala.
Beritahu sahaja lokasi, berapa hari trip, keadaan arus, teknik memancing apa hendak dipakai dan peralatan apa yang perlu dibawa, semuanya beres.
Kebetulan untuk trip ini, organizer trip, Pak Jo memberitahu, ada seorang ahli tidak dapat hadir, jadi saya terus bersetuju untuk menyertainya.

Kami sampai ke jeti persendirian milik Tekong Amin di Sungai Balok, awal pagi lagi. Selepas bersarapan dan membeli barangan terakhir apa yang patut, bot terus bertolak pada pukul 10 pagi.
Kami langsung tidak terburu-buru untuk trip ini kerana ia akan berlangsung selama tiga hari dua malam. Bot sepanjang 51 kaki dan lebar 11 kaki bernadikan dua enjin Yamaha 4 lejang 300 kuasa kuda cergas meluncur laju menuju destinasi pertama.
Cari umpan
Bot yang dilengkapi kabin tidur dan dapur memasak ini sungguh berkuasa, sekali gus membuatkan kami sampai di unjam hanya dalam masa 40 minit.
Tekong mengarahkan kami menurunkan candat mencari sotong mengabang untuk dijadikan umpan sesi pancingan dasar nanti. Sememangnya, batang-batang unjam ini menjadi ‘rumah’ sotong mengabang apabila kami dapat saiz kasar-kasar belaka, ada sotong yang hampir mencecah berat sekilogram seekor.
Satu jam berlalu, stok sotong mengabang dirasakan mencukupi, lantas kami berpindah unjam lain pula untuk mencari ikan-ikan kecil menggunakan apollo.
Sebahagian ikan selar yang segar terus disiang dan dimasak asam pedas untuk lauk makan tengah hari.
Setelah cukup bekalan ikan-ikan kecil untuk umpan, bot terus bergerak ke lokasi pertama pancingan dasar yang terletak tujuh batu nautika lagi dan mengambil masa kira kira 25 minit perjalanan untuk sampai.
Sesi pancing dasar
Di lokasi ini menyaksikan Tengku Marzuki menjadi pemancing pertama mendaratkan ikan merah seberat hampir dua kilogram (kg). Seterusnya, Tengku Ariff mendapat layanan daripada seekor ikan tongkol.
Kira-kira dua jam berlabuh di lubang itu, hasilnya kurang menarik, terus tekong memindahkan bot ke lubuk baharu.

Biasanya, kesempatan yang ada akan digunakan untuk tidur sebentar tetapi bot berkuasa enjin 600 kuasa kuda ini sungguh laju, sekejap sahaja sudah sampai ke lokasi.
Kami meneruskan sesi pancingan sehingga ke malam. Di lubuk ini, tercipta satu sejarah bagi pendatang baharu dalam hobi hanyir ini apabila Muhammad Aliff berjaya mendaratkan seekor ikan yu kemejan seberat 18 kilogram berumpankan sotong.
Tidak terhenti di situ, pelbagai spesies ikan lain turut menyusul selepas itu menandakan lubuk tersebut sangat produktif.
Selepas itu, satu lagi rekod baharu trip pecah, apabila Wan Ahmad Rosidi mendapat seekor kerapu ‘boron’ seberat 15kg berumpankan ikan tamban mati.
Menjelang tengah malam, aksi pencingan menjadi perlahan apabila kurang ikan meragut umpan yang dihulurkan dan keadaan ini berlanjutan hingga ke subuh.

Berkemungkinan ini disebabkan perubahan arus yang menjadi terlalu laju pada awal pagi itu. Spesies ikan yang sudi semasa waktu yang hambar itu hanyalah beberapa ekor ikan kaci dengan saiz terbesar dalam lingkungan 3.5kg.
Hari kedua
Terang sahaja laut, kami berpindah lokasi pancingan. Di kawasan baharu ini, kami dapat beberapa ekor ikan tambak, kerapu dan seekor ikan merah terbesar trip yang dianggarkan mencecah berat 4kg.
Tangkapan pelbagai jenis ikan silih berganti sehingga lewat senja. Selepas makan malam, kami berpindah ke lubuk lain yang terletak dalam setengah jam perjalanan.
Di sini, Tengku Ariff dapat ikan merah coreng yang biasanya aktif di siang hari.
Kemudian, huru-hara berlaku apabila umpan ikan yang dihanyutkan Pok Nik dibedal ikan lumba-lumba yang terus mengelilingi bot dan membelit semua tali pancing.
Nasib baik ia terlepas akibat tali terputus. Jika tidak, pasti bermasalah untuk menaikkannya ke atas bot dan melepaskan ia semula.
Menjelang tengah malam, bot sekali lagi berpindah lubuk. Baki sotong mengabang digunakan sebagai umpan sebab umpan tamban serta tongkol telah habis.
Keesokannya, seawal pagi, kami menuju ke unjam berdekatan di laluan perjalanan balik demi mencari umpan tambahan dan terus memancing untuk menambah hasil tangkapan. Pada pukul 3 petang, sesi memancing dihentikan dan bot terus bergerak pulang ke jeti.















