fbpx
Haziq dengan seekor ikan siakap putih dalam salah satu trip kami.

Sensasi pancingan estuari di Sungai Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK kebelakangan ini, pancingan di estuari menjadi kegilaan saya, tidak kiralah di Sabah atau beberapa lokasi lain seperti di Perak dan Selangor.

Dalam banyak-banyak estuari, Sungai Pinang di Perak ini merupakan antara lokasi kegemaran saya.

Saya turun ke sini dengan tekong yang dikenali Facebook sebagai Muhd. Syafiq Fazil atau dikenali oleh rakan-rakan rapat sebagai Kodek.

Dia hanya turun membawa pemancing jika tidak ada kerja-kerja penting di bendang di kampungnya.

Sebagai seorang tekong yang berpengalaman, Kodek mempunyai lubuk-lubuk pilihannya dan ilmu bacaan air serta arus yang bersesuaian untuk turun memancing berdasarkan pengetahuannya sebagai anak jati kawasan tersebut.

Teknik memancing setiap tekong di mana-mana estuari juga berbeza kerana mereka ada idea-idea penggunaan jenis gewang atau umpan yang khusus mengikut lokasi masing-masing.

Kawasan jeti tempat penduduk kampung menyimpan bot mereka.

Setakat ini, sudah beberapa kali saya turun memancing bersama Kodek dan ia tidak menghampakan, walaupun ada antara trip tersebut jatuh pada keadaan air kurang cantik.

Alternatif

Bagi Kodek, keadaan air yang tidak cantik bukanlah satu masalah besar kerana pemancing boleh sahaja bertukar-tukar teknik daripada penggunaan gewang jenis selaman seperti soft plastic, minnow atau crankbait kepada gewang jenis topwater seperti popper atau pencil.

Antara gewang-gewang tadi juga boleh bertukar-tukar saiz dan warna sehinggalah kena ikan dihajati.

Jika gewang langsung tidak menjadi, sentiasa ada alternatif lain dengan memainkan umpan udang hidup sama ada dibaling tarik (casting), berpelampung atau pancing dasar.

Paling penting baginya, semua pelanggan dapat memancing dalam keadaan berpuas hati.

Jika ‘kumpau berdarah’ sekali pun, semua orang sudah berusaha, hanya rezeki penentu hasil tangkapan.

Pernah juga pelanggannya kena banyak ikan saiz kasar tetapi ada yang tidak dapat didaratkan kerana tersangkut, putus atau mata kail terkangkang akibat asakan ikan kuat.

Sesi pancingan

Seperti biasa untuk setiap trip, kami bertolak pada awal pagi hari lagi kerana hendak mengelakkan air surut yang boleh menyebabkan pergerakan bot keluar dari jeti tergendala.

Bergantung kepada keadaan air, tekong akan berhenti di beberapa kawasan bereba sebaik keluar ke sungai utama.

Penulis bersama ikan siakap merah yang digoda menggunakan gewang soft plastic Chasebait dari Australia.

Begitulah rutin kami mengilat di sini, jika reba-reba yang dicuba itu ada ikan mengejar gewang, atau istilah yang biasa kaki gewang gunakan, ‘kena ketuk’.

Maka bot akan berhenti lama untuk memujuk ikan tersebut atau ikan-ikan lain keluar dari reba dan menghentam gewang disuakan.

Di reba-reba yang sudah diketahui ada ikan bersaiz kasar mendiami berdasarkan tangkapan pada trip yang lepas-lepas, tekong akan bersauh dan kami akan ‘menghantar’ pelbagai jenis gewang untuk menggoda ikan di dalamnya.

Proses memujuk ini perlukan kesabaran yang jitu kerana kami akan menghabiskan masa hampir satu jam di reba sama.

Bagi saya, lontaran gewang tepat dan penggunaan jenis gewang yang betul mengikut saranan tekong amat kritikal ketika usaha menggoda ikan untuk keluar dari reba dilakukan.

Ini kerana, jika lontaran tersasar atau gewang tersangkut di reba, ia bakal mengganggu kerja tekong dan membuatkan ikan menjadi culas akibat bot perlu merapati reba bagi melepaskan gewang yang tersangkut itu.

Biasanya, tekong akan berpindah ke reba lain jika kejadian ini berlaku, yang rugi adalah pemancing kerana potensi untuk sambaran ikan sudah disia-siakan.

Inilah antara cabaran paling besar apabila mengilat gewang di kawasan muara. Sebab itulah nasihat tekong harus dipatuhi dan tidak perlu memandai-mandai dengan teori sendiri.

Ikan saiz kasar

Target utama kebanyakan peman­cing muara sudah tentulah ikan siakap putih atau siakap merah dengan ikan-ikan lain seperti jenahak, kacang, senangin, kurau dan pari sebagai tangkapan sampingan.

Estuari ini pula terkenal dengan ikan bersaiz kasar, maka peralatan memancing juga perlu ampuh supaya dapat mengekang asakan yang biasanya akan membuatkan pemancing berputih mata jika tidak bersedia.

Keadaan reba berselirat banat termasuk struktur tidak kelihatan di dalam air, semuanya adalah target ikan untuk meluru memasukinya dan teritip tajam di struktur tadi bagaikan pisau yang mudah memutuskan tali.

Sebab itu kami bersedia dengan joran berkekuatan minimum 10-20 paun (lb) dengan tali utama (mainline) minimum 40lb dan perambut fluorocarbon minimum 60lb.

Semua mata tiga (treble hook) gewang ditukar paling kurang berkekuatan tiga kali.

Itu pun ada juga terjadi kes-kes yang langsung tidak dapat dikawal, sekali ikan membenam padu, terus ia memasuki reba tanpa jalan pulang (one way ticket).

Biasanya jika kena kejadian seumpama itu, tekong akan suruh kami bertahan dan perlahan-lahan bot akan merapati tempat yang sangkut.

Jika bernasib baik, ikan masih ada lagi di hujung tali, tekong akan membantu mengeluarkannya menggunakan kayu atau dayung.

Bagi saya, inilah keseronokan dan cabaran memancing di muara kerana banyak faktor perlu diketahui dan dipelajari terutamanya tentang keadaan air yang jernih atau keruh, arus, cuaca panas atau hujan dan peralatan memancing termasuk joran, kekili, tali, perambut dan gewang.

Hanya dengan pengalaman yang luas bertahun-tahun, barulah dapat merangkul kemas kesemuanya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN