fbpx
Fishing Madness MY diasaskan oleh Muhammad Danial Hakim yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor.

Dari kaki pancing ke ‘fishing streetwear’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bermula sekadar minat melukis dan mengikuti fesyen semasa, seorang anak muda dari Sungai Buloh, Selangor berjaya memban­gunkan satu jenama pakaian memancing yang kini dikenali bukan sahaja dalam kalangan pemancing tempatan, malah turut mendapat tempat di pasaran luar negara.

Fishing Madness MY yang diasaskan oleh Muhammad Danial Hakim, 29 tahun.
Dia percaya sesuatu produk bukan sekadar dijual sebab reka bentuknya yang menarik, tetapi juga kerana nilai dan pengalaman yang dibawa bersama.

Penubuhan
Dibangunkan pada tahun 2020 hasil daripada minat mendalam Danial terhadap spesies ikan pemangsa (predator).

Sebelum aktif memancing, dia gemar membela serta menjual jenis ikan tersebut sebagai hobi.

Sifat agresif ikan pemangsa tersebut membuatkan dia semakin tertarik untuk mengenali habitat dan cara hidupnya.

Daripada situ, timbul satu persoalan yang mengubah perjalanan hidupnya.

Mengapa perlu membeli ikan sedangkan ia boleh dicari sendiri melalui aktiviti memancing?

Persoalan itulah yang menjadi titik permulaan dia menceburi dunia memancing secara lebih serius.

Semakin banyak masa dihabiskan di lapangan memancing, semakin mendalam minatnya terhadap dunia hanyir ini.

Aktiviti yang pada awalnya sekadar ingin mendapatkan ikan untuk dipelihara, akhirnya bertukar menjadi satu hobi sukar dipisahkan daripada kehidupannya.

Daripada minat itu juga lahirlah sebuah kumpulan kecil pemancing yang menggunakan nama Fishing Madness.

Nama tersebut dipilih kerana menggambarkan keterujaan dan kegilaan mereka terhadap aktiviti memancing. Setiap hujung minggu diisi dengan aktiviti memburu ikan bersama rakan-rakan, berkongsi pengalaman, bertukar ilmu dan menikmati suasana alam semula jadi.

Dari komuniti ke penjenamaan
Apabila komuniti tersebut semakin berkembang, Danial melihat satu peluang untuk membawa identiti kumpulan itu ke tahap lebih tinggi.

Pada peringkat awal, pakaian yang dihasilkan hanya dipakai oleh ahli kumpulan sendiri.

Namun sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga ramai pemancing lain mula bertanyakan cara untuk mendapat­kan pakaian tersebut.

Berbeza dengan kebanyakan pakaian memancing di pasaran ketika itu, Danial memilih untuk mengetengahkan konsep fishing streetwear.

Konsep ini menggabungkan elemen fesyen jalanan dengan fungsi pakaian memancing supaya pemakai bukan sahaja kelihatan bergaya ketika memancing, malah masih sesuai dipakai ketika keluar bersantai, menghadiri acara komuniti atau melakukan aktiviti harian.

Kualiti dan keselesaan
Aspek keselesaan dititikberatkan kerana pemancing lazimnya menghabiskan masa berjam-jam di bawah terik cahaya matahari atau dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Oleh itu, pemilihan bahan menjadi antara perkara paling penting dalam proses pembangunan setiap pakaian.

Setiap koleksi dihasilkan menggunakan fabrik yang sesuai untuk aktiviti luar, ringan, cepat kering dan selesa dipakai dalam tempoh panjang.

Sehingga kini, Danial telah menghasilkan pelbagai jenis produk seperti jersi, topi, seluar kargo, baju kalis air, hoodie, windbreaker serta pelitup muka.
Kesemua produk direka dengan identiti tersendiri yang mencerminkan gaya hidup komuniti pemancing moden.

Pasaran antarabangsa
Walaupun bermula tanpa sasaran besar dan hanya menjual secara kecil-kecilan, namun perkembangan berlaku dengan pantas hasil sokongan komuniti pemancing serta promosi melalui media sosial.

Menebing sambil mengilat ikan peacock bass memerlukan satu pakaian yang dapat menutup kulit badan daripada terdedah kepada panahan terik cahaya matahari.

Hari ini, produknya bukan sahaja digunakan oleh pemancing di Malaysia, malah telah menembusi pasaran antarabangsa termasuk Singapura, Brunei, Indonesia dan Filipina.

Pencapaian tersebut menjadi bukti bahawa produk tempatan mampu bersaing jika mempunyai identiti yang jelas serta mengekalkan kualiti konsisten.

Bagi Danial, kejayaan memasuki pasaran luar negara merupakan satu penghargaan terhadap usaha yang dibina sejak awal penubuhan jenama ini.

Ia juga membuka peluang untuk memperkenalkan kreativiti anak tempatan kepada komuniti pemancing di rantau Asia.

Kolaborasi
Bagi memastikan jenama terus berkembang, Danial turut aktif menjalinkan kerjasama dengan beberapa jenama di dalam dan di luar negara.

Antara kolaborasi yang pernah dijayakan adalah bersama Studio Composite dari Jepun, Ruthless dari Thailand dan Wild Stream di Malaysia.

Kerjasama tersebut bukan sahaja memperkenalkan jenama kepada pasaran baharu, malah memberi ruang untuk bertukar idea, menghasilkan koleksi eksklusif serta memperkukuhkan hubungan dalam industri fishing streetwear.

Selain itu, Fishing Madness MY juga pernah bekerjasama dengan TGV Cinemas bagi menjayakan program promosi sebuah filem aksi dari Amerika Syarikat.

Program tersebut berlangsung dengan kerjasama komuniti The Tomanz Unisel.

Ini sekali gus membuktikan bahawa dunia memancing mampu menjadi platform promosi yang kreatif dan berkesan.

Cabaran
Walaupun berjaya mencapai pelbagai kejayaan, namun perjalanan jenama ini tidak pernah sunyi daripada cabaran.

Menurut Danial, cabaran utama adalah memastikan setiap produk memenuhi kehendak pelanggan yang sentiasa berubah mengikut perkembangan fesyen dan trend semasa.

Tidak semua idea dapat direalisasikan kerana setiap produk memerlukan kos pembangunan, pemilihan bahan, proses pengeluaran serta kawalan kualiti yang teliti.

Pada masa sama, dia perlu memastikan setiap koleksi mengekalkan identiti Fishing Madness MY tanpa mengabaikan cita rasa pelanggan.

Persaingan dalam industri pakaian juga semakin sengit dengan kemunculan pelbagai jenama baharu.

Oleh itu, kreativiti, inovasi dan konsistensi menjadi faktor penting bagi memastikan jenama ini terus relevan dalam pasaran.

Danial berharap, Fishing Madness MY akan terus berkembang sebagai sebuah jenama tempatan yang mampu berdiri setanding dengan jenama antarabangsa lain.

Kisah ini membuktikan bahawa gabungan minat, kreativiti dan kesungguhan mampu mengubah sebuah hobi menjadi perniagaan yang berjaya.

Hobi memancing bukan sahaja satu ‘cerita’ tentang hasil tangkapan ikan sahaja, malah boleh menjana sumber pendapatan lumayan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN