fbpx

Maqis rampas 100kg kayu gaharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kayu gaharu yang dirampas Maqis di KLIA, Sepang, Selasa lalu.

SEPANG – Sebanyak 100 kilogram (kg) kayu gaharu yang diimport dari negara Vietnam bernilai RM14,821.66 dirampas pihak berkuasa di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini Selasa lalu.

Rampasan kayu gaharu atau nama saintifiknya Aquilaria crassna itu telah dilakukan sepasukan pegawai dan anggota  Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pada pukul 3 petang di kawasan pemeriksaan Maqis Kargo KLIA.

Pemangku Pengarah Maqis Negeri Selangor, Zamri Hashim berkata, ketika pemeriksaan pengisytiharan dilakukan, pihaknya mendapati dagangan pertanian berkenaan tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan Maqis.

“Sehubungan itu, barang dagangan tersebut telah disita dan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Zamri, perbuatan mengimport hasil pertanian tanpa permit import yang sah adalah menjadi suatu kesalahan.

“Denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,”katanya.

Katanya lagi, Maqis sentiasa teliti dan cekap dalam memperketatkan kawalan di pintu masuk negara.

“Ini bagi mengelakkan kemasukan dagangan yang diimport bersama penyakit dan perosak yang boleh menjejaskan industri negara selain perlu mematuhi syarat serta peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI