fbpx

UPM buka lapangan paintball

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAPANGAN Putra Park akan dibuka kepada orang ramai pada tahun depan

SUKAN paintball bukanlah sesuatu yang asing , namun begitu sejak kebelakangan ini arena tersebut kian menyepi.
Ia susulan daripada langkah pihak berkuasa yang memilih menghentikan sukan ekstrem tersebut susulan isu akta senjata api.

Bagaimanapun, baru-baru ini pihak berkuasa telah membuat keputusan bahawa paintball marker tidak lagi dikawal selia di bawah Akta Senjata 1990.

Keputusan drastik itu pastinya memberi kelegaan kepada peminat sukan tersebut, sekali gus memberi peluang kepada penggemarnya untuk kembali aktif.

Kesempatan itu dimanfaatkan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang melancarkan lapangan paintball dalam kawasan kampus mereka di Serdang.

Lapangan yang dikenali sebagai Putra Paintball Park (PPP) itu berkeluasan 52 x 42.6 meter yang terletak bersebelahan Kolej Pendeta Za’ba.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, lapangan yang dibina mengikut spesifikasi antarabangsa itu dibina dengan anggaran kos mencecah RM20,000.

Menurutnya, pembukaan lapangan paintball itu tidak terhad kepada para penuntut UPM sahaja, malah turut dibuka buat orang ramai yang meminati sukan berkenaan.

“PPP akan dimanfaatkan sebagai aktiviti riadah bukan sahaja untuk orang ramai malah bakal dijadikan subjek rekreasi yang mempunyai kokurikulum berkredit.

“Saya pasti sukan ini dapat merapatkan hubungan antara pelajar. Ia diharap memberi impak positif dari segi program yang akan dilaksanakan oleh Pusat Sukan selepas ini,” katanya kepada Horizon selepas merasmikan Lapangan PPP di UPM, Serdang baru-baru ini.

 

MOHD. ROSLAN (tengah) menerima bendera daripada seorang pemain paintball pada majlis perasmian Lapangan Putra Park di UPM baru-baru ini

 

Paintball adalah sukan menembak kompetitif yang melibat dua atau lebih pasukan dalam satu lapangan khas.

Seseorang peserta dikira terkeluar daripada perlawanan sekiranya peluru gelatin yang dilengkapi dengan bahan pewarna terkena pada mana-mana anggota badan.

Paintball biasanya ditembak menggunakan senjata bertenaga rendah yang dikenali sebagai marker paintball.
Lapangan paintball berkenaan dijangka dibuka sepenuhnya kepada orang ramai pada awal tahun depan bagi memberi laluan kepada para pelajar UPM terlebih dahulu menggunakannya.

Mohd. Roslan menambah, paintball adalah sukan strategik yang memerlukan pemikiran kritikal dah juga kerja berkumpulan bagi memenangi perlawanan.

“Sukan ini bukan sahaja mencabar, malah memerlukan pemikiran yang kritis dalam kalangan pemain dalam usaha menumpaskan pasukan lawan,” terangnya.

Sempena perasmian lapangan PPP baru-baru ini, pihak UPM turut melancarkan kelab paintball khas yang diberi nama Putra Vanguard.

Dalam pada itu, Pegawai Belia dan Sukan, Pusat Sukan UPM, Mohamad Razizi Midin pula berkata, PPP mampu memuatkan seramai 12 orang pada satu-satu masa dengan enam orang setiap pasukan.

Jelasnya, ia memandangkan kawasan lapangan tersebut hanya mampu memuatkan antara 30 hingga 50 hadangan bergantung kepada permintaan para peserta.

“Jumlah peserta ini ditentukan mengikut bilangan halangan dan keluasan lapangan. Di sini, kami mempunyai kelengkapan lengkap daripada senjata, peluru dan sut,” katanya.

Ujar Mohamad Razizi, pihaknya mencadangkan kepada pengurusan untuk mengenakan harga berdasarkan tiga kategori iaitu pelajar UPM, pelajar sekolah dan orang awam.

Terangnya, harga yang dicadangkan adalah antara RM40 hingga RM180 seorang bergantung kepada kategori dan jumlah peluru yang diperlukan peserta.

 

PAINTBALL merupakan sukan berunsurkan taktikal.

 

“Kami mengalu-alukan agensi luar yang berhajat menjadikan lapangan PPP sebagai venue aktiviti riadah.

“Lapangan PPP juga boleh digunakan sebagai vanue pertandingan paintball. Ia memandangkan lapangan PPP dibina mengikut spesifikasi antarabangsa,” katanya.

Buat masa ini, lapangan PPP diuruskan oleh Pusat Sukan UPM sebelum diserahkan kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) selepas beroperasi secara rasmi kelak.

Tegas Mohamad Razizi, penyerahan kepada HEP membolehkan lapangan PPP diuruskan sepenuhnya oleh pelajar termasuk dalam aspek pengurusan dan penganjuran aktiviti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI