BUNYI deruman enjin yang bergema di sepanjang laluan bukan sekadar mencipta suasana meriah, malah menjadi simbol perpaduan dalam kalangan pencinta motosikal yang datang dari pelbagai latar belakang.
Aktiviti konvoi kini bukan lagi hanya sinonim dengan hobi menunggang motosikal, sebaliknya menjadi platform menyatukan komuniti sambil melaksanakan misi kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Perkara itu dapat dilihat menerusi penganjuran program Charity Ride Vol 2 (CRV2) oleh LWBIKERS Malaysia yang berlangsung di Pahang baru-baru ini.
Menurut Presiden Roda Amal Variasi Malaysia (RAVM), Mohd. Shahrul Azman Johari, program yang menghimpunkan kira-kira 500 motosikal dan 650 peserta dari Malaysia serta Singapura ini menjadi antara acara konvoi berskala besar yang bukan sahaja menonjolkan semangat persaudaraan, malah mengangkat nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan komuniti bikers (penunggang motosikal).
“Aktiviti konvoi kebajikan seperti ini turut memberi persepsi positif terhadap komuniti bikers yang sering disalah tanggap masyarakat.
“Hakikatnya, ramai penunggang motosikal aktif dalam kerja amal dan sering berganding bahu membantu golongan memerlukan,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, melalui penganjuran konvoi tersusun, mereka membuktikan minat terhadap dunia permotoran boleh digabungkan dengan misi sosial yang bermakna.
Selain mengeratkan ukhuwah antara kelab motosikal, program ini juga menanam budaya berkongsi rezeki dan menyemai rasa empati terhadap golongan kurang bernasib baik.
Semangat persaudaraan jelas terpancar apabila peserta dari pelbagai negeri serta negara jiran hadir tanpa mengira bangsa atau latar belakang, bersatu atas minat yang sama.
Katanya, CRV2 berjaya mencapai matlamat penganjur untuk mengukuhkan silaturahim, mendidik penunggang tentang etika konvoi dan pada masa sama menyantuni masyarakat.
Program seperti ini membuktikan bahawa aktiviti konvoi bukan sekadar perjalanan di atas jalan raya tetapi satu medium yang mampu menyatukan komuniti sambil menabur bakti kepada mereka yang memerlukan.

Berkongsi tentang perjalanan konvoi, Mohd. Shahrul memberitahu, mereka bergerak pada pukul 8 pagi menuju Mentakab, Pahang.
“Rombongan ini disambut oleh kumpulan penunggang dari Pantai Timur.
“Kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia membantu mengawal lalu lintas dan susunan konvoi membuktikan bahawa aktiviti sebegini boleh dijalankan secara teratur sekiranya mendapat kerjasama semua pihak,” ujarnya.
Tambahnya, deretan motosikal pelbagai jenis dan kapasiti enjin mewujudkan pemandangan yang menarik perhatian pengguna jalan raya sepanjang laluan.
Destinasi konvoi kali ini ialah Rumah Kebajikan Nur Iman, sebuah rumah kebajikan yang menempatkan anak-anak memerlukan.
Kehadiran peserta konvoi memberi keceriaan luar biasa kepada penghuni rumah berkenaan.
“Sebaik tiba, peserta menikmati sarapan bersama sebelum majlis rasmi dimulakan. Program diteruskan dengan ucapan alu-aluan penganjur, pihak rumah kebajikan dan wakil dari Universiti Putra
Malaysia khususnya Fakulti Rekabentuk dan Senibina yang menjadi rakan strategik program.
“Kerjasama institusi pendidikan dalam acara seperti ini menunjukkan aktiviti konvoi juga boleh diperluaskan kepada perkongsian ilmu serta pembangunan kreativiti kanak-kanak,” katanya.
Acara kemuncak ialah penyerahan sumbangan kewangan kepada pihak rumah kebajikan, selain duit raya serta cenderahati kepada anak-anak.
Momen paling menggembirakan tentunya apabila penghuni rumah tersebut berpeluang merasai pengalaman menaiki motosikal berkuasa besar bersama peserta.
Pengalaman sebegini menjadi kenangan manis bagi mereka.














