PERCUBAAN yang awalnya sekadar suka-suka telah membawa pemuda berusia 28 tahun itu terjebak dalam liga profesional sukan paintball.
Berbekalkan minat, Vimal Kumar optimis pilihannya sejak tiga tahun lalu menceburkan diri dalam kancah sukan lasak dengan menyertai pertandingan paintball peringkat rookie.
“Awalnya saya bersama rakan-rakan bermain paintball secara rekreasi sebulan sekali sebelum perlahan-lahan timbul rasa seronok.
“Dari situ, saya fikir untuk memulakan perkara baharu yang berbeza iaitu menyertai kejohanan paintball secara serius,” katanya ketika ditemui CitaRasa baru-baru ini.
Demi merealisasikan impian itu, Vimal nekad mendapatkan latihan di Nemesis Legion Paintball Academy (NLPA), Shah Alam, Selangor.
NLPA yang mencatat rekod sebagai taman paintball terbesar di Malaysia juga merupakan pusat latihan paintball untuk mereka yang mahu bermain serius dan menyertai kejohanan.
Mungkin tidak ramai menyedari paintball kini tidak lagi aktiviti rekreasi atau ‘sekadar tembak-tembak’ bahkan bakat bermainnya boleh dikembangkan menjadi profesional sekali gus juga dilihat sebagai satu sukan.
Walaupun bersendirian tanpa rakan-rakan, Vimal nekad menyertai latihan. NLPA menjadi pilihan Vimal kerana tertarik melihat sesi latihan diadakan. Ia merupakan sebuah akademi yang membantu peserta untuk mempersiap diri menyertai pertandingan di dalam dan luar negara.

Vimal yang awalnya tiada pengalaman menjalani sesi latihan secara intensif selama enam bulan di akademi itu sebelum berjaya menjulang gelaran juara bagi kategori rookie.
“Terdapat perbezaan antara menyertai kejohanan (profesional) dengan rekreasi. Bermain rekreasi ini hanya untuk suka-suka atau menghilangkan tekanan dengan kita boleh bermain mengikut tema seperti tema pahlawan, tentera atau apa saja.
“Berbeza kalau kita masuk pertandingan kerana kita akan ada semangat bersaing dan keinginan untuk menang itu lebih tinggi.
“Corak permainan rekreasi juga lebih santai, tidak terlalu laju dan tidak memerlukan strategi serangan yang terlalu serius. Berbeza jika kita bermain di liga profesional atau menyertai pertandingan kerana setiap kemahiran diambil kira sekali gus menentukan tahap atau status pemain,” kata pemain pasukan Noboru itu.
Kongsi Vimal, latihan membantu pemain untuk lebih mahir dan bersedia untuk menyertai sebarang kejohanan.
“Mengikuti latihan adalah penting bagi body memory agar kita dapat memahami pergerakan pihak lawan sekali gus dapat bergerak lincah dengan beberapa gerakan asas seperti breakout (gerakan pantas mendapatkan posisi strategik), laning (menembak), bumping (bergerak dari kubu atau bunker) atau dive (meluncur bagi posisi berlindung).
Bagi membuktikan kesungguhannya dalam sukan paintball, Vimal sanggup berhabis kira-kira RM6,000 demi membeli kelengkapan seperti topeng muka, marker (senapang paintball), tangki gas (tank udara mampat atau HPA), hopper (bekas peluru pada marker) bersama beberapa barang lain.
Menurut Persatuan Pemain Paintball Amerika (APPA), terdapat tujuh tahap kehebatan pemain. Pemain perlu mendapatkan skor daripada penyertaan dalam kejohanan berdaftar di bawah sistem APPA bagi mendapat mata.
Semakin tinggi kedudukan pasukan sama ada juara atau naib juara, semakin banyak mata yang diperoleh sekali gus menentukan sama ada pemain di tahap D6 iaitu pemain baharu, D5 (pemula), D4 (rekrut), D3 (novis/pemain baharu berpengalaman), D2 (amatur) serta D1 (semiprofesional dan profesional).
Sebelum digelar profesional, pemain perlu melepasi had mata divisyen bawah yang dianggarkan sekitar 4,000 mata atau lebih dalam rekod.

Seorang lagi peminat paintball yang mendapat latihan di akademi itu, Muhammad Ericho Syah, 27, berkongsi, minatnya terhadap paintball bermula sekitar usia 13 tahun saat mencuba aktiviti tembakan sasaran di Putrajaya.
Kemudian sekitar 2022, Ericho membulatkan hati untuk bermain paintball dengan lebih mendalam saat menyertai Kelab Akaun (pelajar jurusan Perakaunan) ketika menuntut di Kolej Poly-Tech Mara (kini dikenali sebagai Universiti Poly-Tech Malaysia), Cheras.
Dia menyertai pertandingan paintball kerana tertarik dengan adrenalin dan kemahiran menyusun strategi selain dia juga penggemar permainan video FPS (First Person Shooter).
“Aktiviti bermain paintball pada awalnya hanya sebahagian daripada aktiviti pelajar Kelab Akaun sebelum ada antara pelajar ingin lebih serius.
“Jadi, kami membuat keputusan untuk berlatih dan disebabkan waktu itu kami kerap bermain di Shah Alam, jadi kami menyertai NLPA untuk mendapatkan latihan khusus tentang teknik bermain paintball mengikut piawaian kejohanan.
“Latihan yang diberikan di NLPA membuatkan kami dari zero ke pro sekali gus berjaya meraih pelbagai anugerah kejohanan di Jebat Paintball Melaka dan Piala OBD Gombak 2024.
“Kini, biarpun sudah tamat pengajian saya masih bermain dan miliki pasukan sendiri iaitu Racun Nusantara,” katanya.
Ericho yang kini bekerja dalam sektor swasta tetap berusaha meluangkan masa menjalani latihan pada setiap hujung minggu dan menyertai kejohanan terutama yang dianjurkan dalam negara.
“Untuk terus aktif, saya perlu kekal berlatih bagi mengasah skil dan mempelajari teknik baharu terutama berdepan dengan pemain muda.
“Setiap pertandingan susunan bunker (halangan) berbeza jadi setiap kali perlawanan kita perlu tahu macam mana strategi dan rancangan perlawanan itu,” katanya.
Sementara itu bertindak selaku Pengusaha Padang Paintball NLPA, Arif Abdul Samad tidak menafikan ramai kini semakin mempamerkan minat terhadap sukan lasak itu termasuk menyertai latihan.
Biarpun pada awalnya ada yang takut kerana bimbang badan akan mengalami lebam atau kecederaan, tetapi katanya semua itu dapat diatasi dengan mendapatkan latihan yang cukup dan mengikut peraturan ditetapkan.
“Bahkan, tidak dinafikan ada antara mereka yang bermain secara profesional sebenarnya bermula tanpa pengalaman.
“Golongan muda ramai juga mempamerkan minat bermain sukan ini tidak mengira sama ada untuk rekreasi atau profesional. Walaupun dahulu orang hanya melihat ini sebagai sekadar hobi, tetapi sekarang aktiviti ini sudah dilihat sebagai cabang sukan sama seperti bola sepak atau ragbi,” katanya.
Ketika ditanya faktor kecenderungan menyertai sukan itu, Arif memberitahu, setiap individu mempunyai alasan tersendiri untuk menjadi pemain kejohanan.
Menurut telahannya, mungkin kerana inginkan sesuatu yang mencabar, meraih kepuasan atau mencuba hal baharu setelah sekian lama bermain secara rekreasi.
Sebelum bertanggungjawab menguruskan padang paintball, Arif sebelum ini bergelar atlet profesional bersama pasukannya Nemesis Legion.
Kehebatan Nemesis Legion yang sentiasa menjulang trofi dan meraih kedudukan podium di setiap kejohanan sejak aktif sekitar 2005 menjadikan mereka antara ‘otai’ dalam sukan tersebut.
Susulan itu, Mudtrekker (MTZ) iaitu sebuah jenama sukan lasak bekerjasama dengan Nemesis Legion menubuhkan akademi bagi melatih pemain sebagai persediaan menyertai pertandingan.
“Bukan nak kata kami hebat kerana ada banyak lagi pasukan lain yang turut sama hebat dan boleh dikatakan di setiap negeri ada pasukan yang hebat.
“Di sini, kami berkongsi pengalaman dan kemahiran dengan melatih peserta untuk bertanding sama ada kejohanan dalam atau luar negara. Kami hanya beri tunjuk ajar, selebihnya usaha pemain itu sendiri sama ada bersungguh-sungguh atau tidak,” ujarnya.
Kerjasama strategik antara akademi itu di bawah pengurusan MTZ menjadikan NLPA sebagai padang latihan bertaraf kejohanan (turf field) sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Taman Paintball Terbesar di Malaysia.
Untuk makluman, padang NLPA dibuka setiap hari kecuali hari Rabu.














