PETALING JAYA – Pengambilan tumbuhan periuk kera secara berleluasa oleh pengusaha lemang eksotik bukan sahaja menjejaskan biodiversiti hutan, malah mengganggu kestabilan populasi yang menyebabkan kepupusan spesies berkenaan.
Pensyarah Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Daljit Singh Karam Singh berkata, pengambilan secara berlebihan dianggap sebagai eksploitasi kerana melebihi kadar pemulihan semula jadi populasi tumbuhan di habitat asal.
Bagaimanapun, katanya, pengambilan secara kecil-kecilan oleh komuniti tempatan seperti Orang Asli biasanya tidak memberi kesan besar kerana jumlahnya terhad dan dilakukan mengikut amalan tradisional.
“Penggunaan periuk kera untuk membuat lemang sering dianggap sebagai simbol kreativiti kulinari di Malaysia dan Indonesia.
“Tetapi jika dilakukan tanpa pemantauan atau had tertentu, ia berpotensi menjejaskan kestabilan populasi di kawasan hutan berhampiran,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Daljit Singh, spesies periuk kera yang sering digunakan di Malaysia ialah nepenthes ampullaria kerana bentuknya yang bulat dan sesuai dijadikan bekas memasak pulut dan santan.
Tambahnya, terdapat juga spesies Nepenthes rafflesiana yang mempunyai bentuk lebih memanjang, namun penggunaannya tidak setinggi spesies pertama.
“Kita merupakan antara negara terkaya dan mempunyai 49 spesies periuk kera.
“Periuk kera penting dalam ekosistem hutan kerana berperanan sebagai tumbuhan karnivor yang menangkap serangga kecil dan menyumbang kepada kitaran nutreien dalam tanah hutan yang miskin zat,” katanya.
Ujar Daljit Singh, kekurangan periuk kera akan menjejaskan ekosistem dan berisiko untuk lenyap.
“Tambahan pula, pengambilan hasil hutan tanpa permit merupakan satu kesalahan dan periuk kera disenaraikan di bawah Appendix II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam,” katanya.
Menurut Daljit Singh, antara langkah pemeliharaan termasuk mewujudkan garis panduan penuaian lestari termasuk mengehadkan jumlah periuk kera yang boleh diambil dari sesuatu kawasan dan memastikan tumbuhan induk tidak dimusnahkan ketika proses pengutipan.
Beliau turut mencadangkan supaya pemantauan berkala dilakukan oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Perhutanan Negeri bagi menilai keadaan populasi tumbuhan tersebut di habitat semula jadi.
“Selain itu, teknik penanaman periuk kera boleh dikongsi dengan komuniti tempatan serta pengusaha supaya bekalan dapat dihasilkan melalui penanaman terkawal tanpa bergantung sepenuhnya kepada sumber liar,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan masyarakat penting bagi menjalankan bancian populasi, menyediakan permit pengutipan serta mendidik orang ramai tentang kepentingan konservasi.
“Tradisi seperti lemang periuk kera boleh diteruskan, namun ia perlu diurus secara bijak supaya warisan budaya ini tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya.















