USIA muda menjadi waktu terpenting untuk menimba ilmu, pengalaman dan menyertai pelbagai aktiviti yang diminati bagi mempersiapkan diri bergelar insan berkebolehan tinggi pada masa hadapan. Itu yang menjadi pegangan Muhammad Irshad Azian, 23 tahun.
Pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu aktif dalam pelbagai bidang termasuk seni persembahan, kepimpinan, sukan, badan beruniform dan juga aktiviti luar seperti mendaki bukit.
Bagi Muhammad Irshad atau lebih mesra disapa Irshad, amat rugi mensia-siakan peluang ketika bergelar pelajar kerana tidak semua orang mendapat peluang sebegini lebih-lebih lagi ketika berada di menara gading.
“Sebagai pelajar, kita tidak boleh sempitkan fikiran dengan hanya memberi tumpuan kepada akademik semata-mata sedangkan aktiviti di luar bilik kuliah juga sama penting dalam membina kemahiran insaniah untuk digunakan ketika bekerja nanti.
“Oleh itu, saya sentiasa mencabar diri dengan menyertai pelbagai program atau aktiviti termasuk badan beruniform Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) UPM, Ahli Majlis Perwakilan Kolej Canselor, pementasan teater dan juga pertandingan nyanyian,” katanya yang berasal dari Selama, Perak.
Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti, Irshad tetap meletakkan pelajaran di tempat pertama dan hasilnya, dari semester satu hingga sekarang (semester lima) dia mengekalkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan dengan memperoleh anugerah dekan.
Kongsinya, untuk cemerlang dalam pelajaran kita perlu tahu kekuatan dan kelemahan diri sendiri dan selepas itu baru merangka perjalanan belajar kerana setiap orang tidak sama. Sebagai contoh, dia seorang yang mudah faham di dalam kelas dan hanya perlu mengulang kaji semula ketika hampir peperiksaan sahaja.
“Selain usaha dan tawakal, paling penting adalah doa ibu bapa. Libatkan segala urusan kita dengan titipan doa mereka,” pesannya.

Dalam semua aktiviti yang disertainya, Irshad lebih memberi tumpuan kepada Kor SISPA kerana sangat meminati badan beruniform sejak kecil, minat itu diwarisi daripada bapanya iaitu seorang pegawai bomba.
“Saya pada awalnya mahu mengikuti badan beruniform bomba tetapi di universiti tidak ada dan yang paling dekat dengannya adalah Kor SISPA. Keputusan itu sangat tepat kerana banyak yang saya belajar di sini.
“Setelah lima semester mengikuti kursus Kor SISPA, saya kini lebih berani bertindak dalam situasi cemas di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa seperti membantu mangsa kemalangan dan sebagainya.
“Saya melihat sikap mahu membantu orang Malaysia sangat tinggi tapi sayangnya ramai yang masih kurang ilmu berkaitan pertolongan cemas sehingga pertolongan awal tidak dapat dilakukan,” ujar Pegawai Kadet Kanan 2 (SUO 2) Kor SISPA UPM itu.
Sehubungan itu, Irshad menyeru orang ramai untuk menyertai kursus-kursus asas pertahanan awam yang dianjurkan oleh pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sering diwar-warkan menerusi laman sesawang.
Mengikuti Kor SISPA UPM juga banyak memberi kelebihan kepada anak kedua daripada empat beradik itu terutama ketika bergelar guru kelak.
“Sebaik sahaja tamat latihan di Kor SISPA UPM, saya akan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam. Ia merupakan satu penghormatan kepada saya untuk terus berkhidmat menyumbang bakti kepada masyarakat.
“Saya juga akan menggunakan segala ilmu dan pengalaman di Kor SISPA untuk membantu pasukan beruniform di sekolah yang akan saya berkhidmat kelak,” tuturnya yang juga berpengalaman menjadi jurulatih kawad kaki di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Bukit dan SMK Pandan Indah.
Mengakhiri bicara, Irshad memberitahu antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang menyertai Kor SISPA UPM ialah ketika menjadi peserta Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 2024 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya bersama anggota APM.
“Ia merupakan momen yang cukup manis dan sangat berharga bagi diri saya. Perasaan ketika itu sukar diungkapkan dengan kata-kata,” katanya.














