UNIVERSITI bukan sekadar gedung ilmu untuk pelajar menimba ilmu akademik semata-mata.
Sebaliknya, di universiti pelajar berpeluang untuk mencuba pelbagai perkara baharu melalui aktiviti atau program yang dianjurkan di luar kelas.
Begitu juga buat Hanna Zulaikha A. Hadi Kamil, 25, bersama pelajar di Kolej 12 Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor yang mendapat peluang untuk mengikuti program akuakultur dengan belajar menternak ikan keli.
Baginya, inisiatif program tersebut adalah sesuatu yang sangat bermanfaat, terutamanya kepada pelajar yang bukan daripada bidang pertanian.
“Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari kemahiran baharu yang tidak diajar secara formal di dalam kelas.
“Ramai pelajar di Kolej 12 ini datang daripada latar belakang dan pengajian berbeza, apabila ada program macam ini, sekurang-kurangnya kami dapat belajar satu kemahiran baharu ternak ikan,” katanya.
Tambahnya, melalui pendedahan seperti itu, selepas tamat pengajian pelajar juga boleh cuba ceburi bidang penternakan ikan keli jika masih belum mendapat peluang pekerjaan.
Salah satu perkara utama yang dipelajari oleh para pelajar ialah pengurusan pemakanan ikan.
Setiap peringkat tumbesaran ikan keli memerlukan jenis nutrien yang berbeza, dan pelajar perlu memahami keperluan ini untuk memastikan ikan membesar dengan sihat.
Setelah mengikuti program tersebut, Hanna Zulaikha menyedari bahawa penternakan ikan keli tidaklah serumit yang disangka.
Ia tidak memerlukan kolam besar atau sistem yang kompleks seperti sesetengah spesies ikan lain.
“Sebaliknya, ikan keli boleh diternak dalam tangki yang lebih kecil, menjadikannya sesuai sebagai projek pembelajaran untuk pelajar.
“Apabila melihat sendiri, barulah saya faham sebenarnya menternak ikan keli ni agak mudah dan tidak terlalu rumit dan sesuai untuk pelajar yang baru nak belajar,” jelasnya yang merupakan pelajar sarjana dalam bidang ekonomi pertanian.
INISIATIF yang diusahakan oleh Kolej 12 tersebut merupakan satu langkah yang baik dalam membantu memberi kemahiran baharu yang bermanfaat untuk para pelajar.
Malah, ia juga membantu pelajar untuk peka dengan keterjaminan bekalan makanan negara dan dengan ilmu yang diraih, mereka boleh menceburkan diri dalam bidang akuakultur pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Pengetua Kolej 12, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa berkata, kebimbangan utama kini tertumpu kepada keterjaminan bekalan makanan negara memandangkan ketidaktentuan geopolitik yang melanda dunia.
Menurutnya, sebagai langkah proaktif, kerajaan telah menggesa pemerkasaan sektor pertanian domestik.
“Oleh itu, sudah sampai masanya aktiviti pertanian perlu diangkat sebagai gaya hidup rakyat pada bila-bila masa, bukan hanya sewaktu berhadapan dengan sesuatu krisis.
“UPM, sebagai peneraju keterjaminan makanan negara, telah mengambil langkah progresif melalui pelbagai inisiatif di peringkat fakulti dan kolej kediaman.
“Di Kolej 12, para pelajar didedahkan secara teori dan praktikal kepada aktiviti tanaman sayuran serta akuakultur sebagai sumber protein alternatif selain daripada ayam dan daging,” katanya.
Dengan agenda Pertanian Untuk Rakyat (Putra), Kolej 12 mempersiapkan warganya dengan ketidaktentuan geopolitik dunia dan keterjaminan makanan.
Maka dua elemen penting yang melengkapi makanan lengkap bagi manusia iaitu sayuran dan protein telah diperkenalkan oleh pihak kolej sebagai ilmu pembelajaran sepanjang hayat kepada warganya.
Siti Suriawati berkata, salah satu produk akuakultur yang sangat sesuai dengan ekosistem yang terdapat di Malaysia adalah ikan keli.
Terangnya, sifatnya yang tahan lasak daripada pelbagai segi menyebabkan ikan keli sesuai dipelihara oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia.
“Ia mudah diuruskan dan tidak memerlukan kos pengurusan yang tinggi, selain daripada itu harganya juga stabil dan mampu milik menyebabkan ikan keli menjadi pilihan popular di premis makanan di Malaysia.

“Kolej 12 telah menjalani projek rintis memelihara ikan keli di dalam tangki di kebun kolej yang terhad saiznya.
“Disebabkan beberapa kekangan seperti kewangan dan ruang yang terhad, pihak kolej memilih untuk memelihara ikan keli di dalam dua tangki,” jelasnya.
Malah, semester ini, Kolej 12 mempunyai seramai 2,231 pelajar daripada pelbagai program pengajian dan mereka digalakkan untuk melibatkan diri dalam inisiatif tersebut.
Pihak kolej telah dibekalkan lebih 800 benih ikan keli kacukan keli Afrika dan tempatan oleh Pusat Pengembangan Akuakultur, Bukit Tinggi, Pahang.
Kacukan ini dipilih kerana ia lebih pantas tumbesarannya dan mempunyai isi yang lebih banyak bagi tujuan komersial.
Inisiatif itu juga telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Mereka telah mengadakan lawatan tapak untuk melihat kesesuaian kawasan kolej bagi memelihara ikan keli.
Siti Suriawati berkata, seramai 10 staf kolej dan lima pelajar daripada Kolej 12 telah dihantar bagi menghadiri kursus jangka pendek ikan keli di Bukit Tinggi, Pahang.
“Kursus selama dua hari itu telah berjaya memberikan pendedahan asas mengenai ikan keli kepada peserta.
“Para peserta turut mengambil bahagian dalam memilih ikan induk bagi tujuan pembiakan benih ikan keli, di samping itu, sifat ikan keli dan cara pemakanan turut diberikan kepada para peserta,” katanya.
Kolej 12 telah menempatkan benih ikan keli di dalam dua tangki air bersaiz 500 gelen di kebun kolej.
Bagi projek rintis ikan keli ini adalah lebih sesuai dibela di dalam tangki untuk memudahkan proses pemantauan dengan lebih dekat di samping mengelak daripada dimakan haiwan pemangsa.
Walaupun Kolej 12 mempunyai tasik yang luas dan sesuai untuk habitat ikan air tawar tetapi untuk permulaan dan bagi projek rintis adalah lebih sesuai ditempatkan di dalam tangki.
Siti Suriawati berkata, staf dan pelajar kolej sama-sama memainkan peranan di dalam projek ikan keli tersebut.
“Pelajar kolej ditugaskan untuk memberi makan kepada ikan keli mengikut jadual yang ditetapkan.
“Selain daripada itu, mereka turut membantu menjaga pameran pertanian di peringkat UPM yang mempamerkan ikan keli kolej kepada pengunjung.
“Pendedahan sebegini amat penting agar para pelajar mendapat pengalaman secara langsung mengenai aktiviti keusahawanan pertanian,” ujarnya.
Setelah empat bulan dibela, ikan keli yang diternak telah mencapai saiz yang sesuai untuk dituai.
Malah, baru-baru ini turut diadakan Program Keli ke Kuali Kolej 12 bertempat di Wakaf Kolej 12.
Turut diadakan adalah aktiviti demo masakan oleh Profesor Dr. Muhammad Shahrim Abdul Karim, daripada Fakulti Teknologi Sains Makanan.
Beliau telah berkongsi dua resipi iaitu nasi kerabu yang menggunakan hasil 70 peratus herba dan sayuran daripada Kebun Agriva, Kolej 12 dan turut menyediakan sambal ikan keli, manakala staf kolej turut menyediakan masakan sambal hijau ikan keli.
Siti Suriawati berkata, ikan keli yang dimasak telah dihidangkan kepada tetamu jemputan ke program tersebut.
“Hasil temu ramah dengan beberapa orang tetamu yang hadir ke program tersebut menyatakan isi ikan keli yang dipelihara oleh Kolej 12 sangat enak dan tidak hanyir untuk dimakan.
“Malah ada beberapa tetamu yang tidak makan ikan keli sebelum ini turut memuji keenakan ikan keli yang kami bela.
“Selain rasanya yang tidak hanyir isinya sangat sedap dan mempunyai isi yang banyak,” jelasnya.
Dengan cara pemeliharaan yang betul dan masakan sesuai ikan keli boleh diangkat setanding dengan produk ikan yang lain.
Malah, harganya yang murah dapat menjimatkan perbelanjaan isi rumah satu keluarga terutama sekali mereka yang perlu berjimat cermat dengan perbelanjaan mereka.
Jelas Siti Suriawati, projek rintis Kolej 12 tersebut berjaya memberikan ilmu pemuliharaan ikan keli dan pengalaman yang sangat berharga kepada seluruh warga kolej.
“Seterusnya, kami akan cuba perluas projek ikan keli ini dalam skala yang lebih besar dalam masa terdekat.
“Tasik Kolej 12 akan digunakan sepenuhnya bagi aktiviti akuakultur untuk manafaat semua pihak,” ulasnya.
















