fbpx
JEJAKA berusia 23 tahun ini turut aktif dalam dunia seni persembahan.

Formula kejayaan Aziemuddin di universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KESEIMBANGAN akademik, kepimpinan, sahsiah dan kesejahteraan diri menjadi formula kejayaan pelajar Bacelor Komunikasi dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Che Wan Muhammad Aziemuddin Che Wan Kamal.

Baginya, kejayaan mahasiswa tidak seharusnya diukur semata-mata melalui keputusan akademik, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi insaniah, daya tahan dan keupayaan menyesuaikan diri dengan cabaran dunia sebenar.

Dia yang lebih mesra disapa Aziemuddin, 23, berkata, penglibatan aktif dalam kepimpinan dan kokurikulum bukan lagi satu pilihan sampingan tetapi keperluan penting dalam membentuk graduan yang lebih bersedia menempuh alam pekerjaan.

“Belajar itu penting, namun kemahiran insaniah juga perlu bergerak seiring untuk memberi nilai tambah kepada diri.

“Misalnya, mendapat pointer 4.0 sahaja tidak cukup untuk menjamin kejayaan dalam hidup,” katanya membuka bicara bersama K-Kampus.

Anak kelima daripada enam beradik yang berasal dari Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu, Terengganu itu berkata, didikan keluarga yang menekankan keseimbangan antara ilmu agama dan ilmu saintifik menjadi tonggak utama dalam membentuk jati diri serta pandangannya terhadap kehidupan.

“Keluarga membesarkan saya dengan menitikberatkan ilmu agama dan ilmu saintifik supaya hidup sentiasa selari serta seimbang dalam segala perkara,” katanya.

Walaupun aktif dalam pelbagai komitmen, dia mengakui cabaran terbesar yang dihadapi dan tidak terlepas adalah dari segi pengurusan masa.

Baginya, keseimbangan tidak bermaksud melakukan semua perkara dalam satu masa, sebaliknya bijak menentukan keutamaan tanpa mengabaikan kesihatan mental dan fizikal.

Jelas Aziemuddin, pendekatan yang diamalkan bukanlah rutin harian yang terlalu kaku, sebaliknya lebih dinamik menerusi penggunaan senarai semak bagi memastikan tiga hingga lima tugasan utama dapat diselesaikan setiap hari.

AZIEMUDDIN (tengah) bersama rakan seperjuangan di kampusnya ketika dalam satu program baru-baru ini.

“Saya lebih percaya kepada konsep mengurus tenaga berbanding mengurus jam.
“Apabila tenaga berada pada tahap terbaik, saya akan terus siapkan tugasan yang paling mencabar,” katanya.
Latar perjalanan hidupnya turut memperlihatkan perkembangan karakter yang signifikan.

Dia pernah mendapat pendidikan awal di Sekolah Imtiaz Yayasan Terengganu dan berjaya menghafal 10 juzuk al-Quran.

Beritahunya, minat terhadap kepimpinan pula mula berkembang selepas berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu, apabila sokongan rakan dan guru membantu membina keyakinan dirinya.

Akuinya, daripada seorang pelajar yang pasif, dia kemudiannya tampil lebih berani hingga diberi kepercayaan dan dilantik sebagai pengawas sekolah dari tingkatan tiga hingga lima termasuk memegang amanah sebagai ketua pengawas.

Pengalaman itu mengajarnya bahawa kepimpinan tidak semestinya bersifat keras, sebaliknya boleh dibina menerusi toleransi, kelembutan dan kebijaksanaan dalam berinteraksi.

“Ketika itu saya sedar, bukan semestinya kita perlu menjadi bengis untuk memimpin.

“Nilai toleransi, lemah lembut dan bijak berinteraksi itu juga penting,” katanya.

Di UPM, penglibatan Aziemuddin berkembang lebih luas apabila dia merekodkan lebih 100 penglibatan sepanjang lebih tiga tahun pengajian dalam pelbagai bidang seperti kepimpinan, kesukarelawanan, majlis protokol, pendigitalan, e-sukan, pengacaraan dan komunikasi korporat.

Antara jawatan yang pernah disandang termasuk Exco Protokol Persatuan Kebajikan Mahasiswa Anak Negeri Terengganu (Pakat) UPM, Timbalan Naib Yang Dipertua 1 Pakat UPM, Pengerusi Sekretariat Pendigitalan dan Komunikasi Korporat Majlis Perwakilan Kolej Tun Dr. Ismail dan kini Naib Yang Dipertua 3 Majlis Perwakilan Pelajar UPM.

Dia juga pernah mengacarakan beberapa program berprofil tinggi antaranya Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Besar Terengganu pada 2024 dan Majlis Penutup Content Creator Digital Bootcamp 2025 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama Akademi Kenegaraan.

Selain itu, penglibatannya bersama Pusat Strategi dan Komunikasi Korporat (PSPK), UPM sebagai wartawan bagi Majlis Perutusan dan Amanat Naib Canselor baru-baru ini turut menjadi pendedahan awal yang signifikan ke arah kerjaya dalam bidang kewartawanan dan komunikasi korporat.

Di sebalik kesibukan akademik dan kepimpinan, dia tetap mengekalkan ruang untuk memulihkan tenaga dan mengembangkan kreativiti melalui minat seperti menonton anime, bermain permainan video, mendengar muzik, mengikuti isu semasa serta mengasah kemahiran suntingan video dan grafik.

Bagi Aziemuddin, waktu senggang bukan sekadar ruang untuk berehat tetapi medan memperkasa potensi diri dalam suasana yang lebih santai dan seimbang.

Sebagai pesanan kepada mahasiswa lain, dia menyeru agar kekurangan diri atau pandangan negatif orang lain tidak dijadikan alasan untuk berhenti melangkah.

“Jangan sesekali membenarkan persepsi negatif orang lain atau kekurangan diri menjadi noktah dalam hidup anda. Universiti adalah medan terbaik untuk membuat kesilapan dan belajar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN