fbpx

KFA mahu pujuk MB kekal pegang teraju Helang Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD SANUSI (kiri) telah menghantar surat untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden KFA pada 25 Oktober lalu yang akan berkuat kuasa 15 Oktober ini.

Oleh RAFIE AZIMI

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) kini berusaha memujuk Presidennya, Muhammad Sanusi Md. Nor untuk membatalkan hasrat melepaskan jawatan itu.

Menurut Naib Presiden KFA, Khamal Idris Ali, pihaknya akan melakukan segala yang terdaya bagi memastikan Muhammad Sanusi kekal menerajui KFA.

“Kita faham beliau berdepan tanggungjawab berat selaku Menteri Besar apatah lagi dengan penularan Covid-19 yang tinggi di Kedah berbanding negeri-negeri lain.

“Namun, untuk berdepan dengan pelbagai cabaran pada masa ini, kita amat memerlukan sokongan beliau sebagai Presiden. Insya Allah perkara tersebut akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pada 11 Oktober depan,” katanya di Alor Setar semalam.

Sebelum ini Muhammad Sanusi dilaporkan telah menghantar surat kepada KFA pada 25 September lalu bagi menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan berkuat kuasa 15 Oktober depan.

Menurut Muhammad Sanusi, keputusan itu dibuat bukan kerana merajuk akibat dikecam ekoran isu nama dan logo yang bakal digunakan pasukan pada musim depan, sebaliknya disebabkan perlu memberi tumpuan 100 peratus terhadap tugas berkaitan negeri.

Dalam perkembangan lain, Khamal Idris berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) semalam bagi memahami situasi antara satu sama lain berhubung hasrat pihak terbabit untuk memiliki saham pasukan tersebut yang telah selesai menjalani proses penswastaan.

“Kita dalam proses ‘saling mengenali’ antara kedua-dua pihak terutamanya dari segi kemampuan dan pelbagai perkara lain,” katanya.

Sementara itu, Penasihat KAKB, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman ketika dihubungi memaklumkan, pertemuan kali keempat bersama KFA berjalan lancar dengan kedua-dua pihak diberi peluang untuk menyatakan hasrat masing-masing.

Menurutnya, antara perkara yang dibincangkan menjurus kepada jumlah hutang ditanggung KFA, jumlah pegangan saham oleh KAKB serta peranan KFA sekiranya KAKB setuju mengambil alih pasukan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI