fbpx
ADZLI pada sidang akhbar di IPK Kedah di Alor Setar hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

54 anggota, pegawai polis Kedah ditahan kes dadah sejak 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Polis Kedah menegaskan pihaknya tidak akan sesekali melindungi mana-mana pegawai atau anggota polis yang terlibat dalam penagihan mahupun kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis negeri, Datuk Adzli Abu Shah berkata, bagi tempoh dari tahun 2023 hingga April lalu, seramai 54 anggota dan pegawai polis di negeri itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana terlibat penyalahgunaan dadah.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 38 orang telah dituduh di mahkamah dan pada masa sama ditahan kerja.

“Bila dituduh di mahkamah, kita tahan kerja. Kita tidak mahu polis terlibat dengan penagihan dadah ini bertugas sebagai penjawat awam, sebagai anggota polis yang menguatkuasakan undang-undang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 13 lagi dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atas sebab-sebab seperti laporan patologi didapati negatif, manakala tiga lagi masih menunggu laporan patologi.

Menurut Adzli, tindakan tegas turut diambil terhadap anggota yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah termasuk di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Pada April tahun lalu, seorang anggota polis di Kedah telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya LLPK 1985 kerana terlibat dengan pengedaran dadah.

“Ini membuktikan kita tidak berkompromi. Bukan agensi lain yang tangkap, tetapi polis sendiri yang mengambil tindakan terhadap anggota terlibat,” ujarnya.

Mengulas dakwaan membabitkan seorang anggota polis di Langkawi yang dikaitkan dengan kegiatan pengedaran dadah, beliau menegaskan bahawa pertukaran anggota berkenaan ke tempat lain bukan bertujuan menyelamatkan individu terbabit.

Katanya, siasatan dan pelbagai tindakan susulan masih berjalan terhadap anggota terbabit.

“Pertukaran itu bukan bermaksud kita mahu melindungi mana-mana pihak. Polis tetap akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya. Siapa sahaja yang terlibat, sama ada anggota polis atau orang awam, kita tidak akan berkompromi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN