PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memeterai kerjasama strategik menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Multimedia (MMU) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia).
Kerjasama itu bagi memperkukuh ekosistem pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional dalam Kecerdasan Buatan (TVET-AI) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
KPM berkata, bermula tahun ini, inisiatif TVET-AI akan dilaksanakan di lima buah SBP terpilih sebelum dikembangkan lagi pada masa akan datang.
“MoU ini adalah cerminan komitmen KPM bagi memastikan agenda reformasi pendidikan yang memacu kecemerlangan akademik dengan kemahiran teknikal masa hadapan menerusi integrasi kecerdasan buatan (AI).
“Langkah strategik ini memberi nilai tambah signifikan kepada usaha kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran murid melalui penyediaan sijil profesional Huawei Certified ICT Associate – Artificial Intelligence (HCIA-AI) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut KPM, prakarsa TVET-AI bertepatan dengan agenda Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13) dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
Ia memberi tumpuan kepada penciptaan bakat masa hadapan, memperkukuh ekosistem pendidikan TVET dan menggalakkan kerjasama strategik dengan industri dan akademia. – KOSMO! ONLINE






