PETALING JAYA – Seramai lapan rakyat Malaysia dilaporkan ditahan rejim Israel selepas beberapa kapal yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) dalam pelayaran ke Gaza dipintas di Laut Mediterranean.
Terbaharu, tiga lagi rakyat Malaysia dikenal pasti berada di atas kapal Amanda, Isobella dan Josef/Yusuf yang ditahan pihak Israel.
Mereka ialah Zainal Rashid atau lebih dikenali sebagai ZRA Strim yang menaiki kapal Amand, Muhamad Muhsin Zaidi (Isobella) dan Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Josef/Yusuf).
Ketiga-tiga mereka pernah ditahan pada 30 April lalu, namun kembali menyertai misi kemanusiaan tersebut dan tekad meneruskan pelayaran ke Gaza selepas tempoh 18 hari.
Sebelum ini, lima rakyat Malaysia dilaporkan berada di atas dua bot iaitu Cactus dan Furleto yang dipintas. Dua rakyat Malaysia yang menaiki bot Cactus ialah Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari.
Tiga lagi rakyat Malaysia yang berada di atas bot Furleto dikenal pasti sebagai Patmanathan Sivasamy, Muhammad Amirul Afif Mohd. Azhar dan Syakirin Muhamed Senin.
Dalam perkembangan sama, jumlah keseluruhan kapal yang ditahan setakat ini meningkat kepada 11 buah termasuk dua kapal milik Freedom Flotilla Coalition (FFC) iaitu Kyriakos X dan Tenaz.
Bagaimanapun, difahamkan, sebanyak 45 lagi kapal GSF masih meneruskan pelayaran menuju Gaza meskipun berdepan ancaman keselamatan dan risiko serangan.
Sementara itu, Global Sumud Flotilla dalam kenyataannya berkata, kapal perang tentera laut Israel sedang mengepung dan memintas kapal-kapal awam mereka di perairan antarabangsa kira-kira 250 batu nautika dari pesisir Gaza.
Katanya, tindakan tersebut disifatkan sebagai satu lagi sekatan haram di laut selepas 54 kapal awam berlepas dari Marmaris empat hari lalu bagi mewujudkan koridor kemanusiaan ke Gaza.
“Misi ini terdiri daripada doktor, wartawan dan petugas kemanusiaan yang tidak bersenjata. Sebarang keganasan terhadap kapal-kapal ini merupakan tanggungjawab undang-undang sepenuhnya di bawah rejim Israel dan pihak yang membenarkannya berlaku,” katanya.
GSF turut mendakwa tindakan terbaharu itu merupakan kesinambungan kepada insiden terdahulu di luar pesisir Crete apabila seramai 181 aktivis hak asasi manusia daripada 21 kapal awam didakwa ditahan tentera Israel.
Menurut mereka, peserta misi sebelum ini turut ditahan dan berdepan keganasan fizikal dan seksual selain mendakwa tindakan tersebut melanggar undang-undang maritim antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).
Dalam masa sama, GSF mendakwa Global Sumud Land Convoy yang membawa lebih 30 kenderaan termasuk ambulans dan rumah bergerak dihalang berhampiran Sirte, Libya ketika dalam perjalanan menuju Rafah.- KOSMO! ONLINE














