fbpx
ADZLI menunjukkan gambar kecederaan dialami mangsa akibat ditikam pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Cemburu, cinta tak berbalas dipercayai motif tikam ibu tunggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Polis percaya motif seorang ejen hartanah menikam kenalan wanitanya sehingga cedera parah di leher dalam sebuah kereta Mazda di Jalan Titi Gajah di sini malam tadi adalah akibat perasaan cemburu atau cinta tidak berbalas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 32 tahun dan mangsa berusia 35 tahun yang masing-masing bekerja dalam bidang hartanah telah mengenali antara satu sama lain sejak lebih setahun lalu.

“Hubungan mereka dipercayai kenalan yang mana mereka bekerja dalam bidang sealiran iaitu sebagai ejen hartanah, namun syarikat yang berlainan.

“Setakat ini, kita percaya motif kejadian boleh jadi cemburu atau perasaan yang tidak berbalas. Namun siasatan lanjut berhubung perkara itu masih dilakukan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga akan memanggil ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.19 malam itu, mangsa yang juga ibu tunggal dua anak mengalami luka tikaman yang menembusi bahagian kiri hingga kanan leher.

“Kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai duduk di tempat pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan.

“Mangsa sempat membunyikan hon beberapa kali bagi menarik perhatian orang awam sebelum suspek melarikan diri. Tindakan pantas orang awam dan kakitangan sebuah klinik berhampiran yang memberi bantuan awal dipercayai berjaya menyelamatkan nyawa mangsa,” jelasnya.

Tambah beliau, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan polis masih mengesan senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.

“Kita masih mengesan senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu yang mana ia boleh jadi pisau ‘rambo’, alat pemecah ais atau pemutar skru,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Adzli berkata, suspek yang merupakan seorang duda berjaya ditahan kira-kira empat jam selepas melarikan diri sejurus kejadian.

“Suspek berjaya ditahan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) kira-kira pukul 1.50 pagi tadi ketika bersembunyi di kawasan rumah ibadat (masjid) di Taman Uda.

“Dia dipercayai melarikan diri dengan meredah kawasan bendang untuk ke lokasi tersebut yang sejauh kira-kira 6.2 kilometer,” katanya.

Menurut beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Tambahnya, suspek yang didapati negatif dadah turut mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes sama di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menikam seorang wanita yang didakwa teman wanitanya.

Bagaimanapun katanya, suspek dilepaskan daripada pertuduhan tersebut selepas mangsa dalam kes terdahulu tidak berminat untuk meneruskan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN