KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao enggan mengulas lanjut mengenai amaran diberikan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berhubung masalah disiplin melibatkan dirinya.
Sebaliknya, bekas juara remaja Asia itu hanya mahu memberikan sepenuh perhatian terhadap aksi pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil yang bermula esok.
Bagaimanapun, Jun Hao mengakui ada beberapa kali tidak menghadiri latihan seperti didakwa Chong Wei, namun dia menegaskan, ia disebabkan alasan-alasan peribadi yang tidak dapat dielakkan.
“Itu (Amaran) saya rasa benda sudah lepas dan buat sementara ini, saya tidak ada apa-apa nak komen mengenai perkara tersebut. Memang ada terlepas latihan tetapi saya ada sebab dan ia bersifat peribadi.
“Memang akan memberikan kesan (kepada prestasi) tetapi saya hanya mahu melakukan yang terbaik sahaja di sini (Malaysia Masters),” katanya kepada pemberita selepas sesi uji gelanggang di Unifi Arena hari ini.
Terdahulu, Chong Wei memberikan amaran terakhir kepada Jun Hao supaya memperbaiki disiplin ataupun berdepan tindakan tegas daripada badan induk itu, termasuk disingkirkan daripada skuad kebangsaan.
Pada masa sama, pemain berusia 27 tahun itu belum ada sebarang perancangan khusus berhubung masa depannya, sama ada untuk terus bersama skuad kebangsaan ataupun bergerak sebagai profesional.
Sementara itu, Jun Hao mengakui sentiasa bekerja keras dalam sesi latihan, terutamanya selepas menampilkan aksi di bawah paras sebenar ketika bersama skuad negara pada Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark.
“Saya rasa selepas Piala Thomas, memang masih dalam fasa pemulihan. Daripada kekalahan di Piala Thomas, saya jadikan ia sebagai pemangkin untuk memperbaiki permainan dan saya mahu fokus di kejohanan ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














