SHAH ALAM – Anak kepada pelakon Amyza Adnan iaitu Adrian Adam yang berdepan dengan ujian penyakit kanser terpaksa melupakan hasrat menyertai program realiti, Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) demi mengutamakan tahap kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Meskipun timbul rasa terkilan, Adrian atau nama lengkapnya nama lengkapnya Adrian Adam Khairil Idzhar, 18, reda dan percaya ada hikmah serta rezeki lain.
“Pada awal itu saya kurang pasti, tapi bila dah hujung-hujung saya rasa tak yakin dan memilih untuk menarik diri.
“Semasa mereka tawarkan saya belum tahu lagi (soal kanser) tapi dah ada rasa sakit. Selepas beberapa bulan baru dignosis.
“Pada ketika itu saya hanya fikir akan digantikan dengan lebih baik dan sesuai jadi kita terima sahaja.
“Nak cakap sedih itu tidaklah cuma sedikit terkilan tapi saya percaya pada rezeki ada dekat tempat lain,” katanya kepada Kosmo! Online pada konsert kelima TTMM2, semalam.
Sementara itu, Amyza, 49, memaklumkan, dia sentiasa menghormati keputusan anaknya namun tidak menolak wujud rasa bersalah terhadap pihak produksi yang terpaksa mencari pengganti Adrian pada saat akhir.
“Sejak mereka kecil apa sahaja keputusan yang dibuat kami akan bertukar pendapat terlebih dahulu walaupun mereka masih kanak-kanak.
“Rasa bersalah dengan pihak produksi kerana perlu cari pengganti. Jadi kita akur dengan keputusan dia untuk tarik diri walaupun tahu perkara tersebut akan menyusahkan dan mengecewakan pihak produksi,” jelasnya.
Disoal mengenai perasaan melihat Adrian membuat persembahan di atas kerusi roda, pelakon drama Bawah Payung Awan itu mengakui emosinya bercampur-baur tetapi berbangga melihat semangat anaknya untuk menyanyi walaupun sedang bertarung dengan kanser tulang.
Dia juga mendedahkan impian Adrian yang ingin berkongsi pentas dengan arwah abangnya sekiranya menyertai pertandingan terbabit.
“Satu benda saya sebagai ibu sangat terharu, saya tahu keadaan dia macam mana tapi dia komited dengan permintaan orang, tak nak menghampakan.
“Sejujurnya bercampur-baur perasaan saya. Perancangannya kalau masuk dia nak berduet dengan abang dia.
“Sebagai ibu saya tahu dia bawa semangat dan impian abang dia atas pentas. Itu jadikan dia kuat dan menyampaikan dengan baik,” ujarnya.
Semalam, Adrian membuat kemunculan istimewa di pentas TTMM2 dengan menyampaikan lagu Ku Mohon nyanyian asal Datuk Sheila Majid sambil berkerusi roda.
Nyanyiannya mendapat tepukan gemuruh penonton dan ‘standing ovation’ termasuk daripada barisan juri.
Pada Februari lalu, anak kedua Amyza itu disahkan menghidap kanser tulang dan sedang menjalani rawatan alternatif bagi mendepani penyakit berkenaan. – KOSMO! ONLINE














