fbpx
Shelly Farina (tengah, barisan kedua) bersama sebahagian pelajar MSU pada majlis penutup Gala Lingua Franca 2026 di MSU, Shah Alam. Foto: MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS/KOSMO

Gala Lingua Franca MSU martabat bahasa, budaya Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Keunikan bahasa dan budaya Malaysia terus menjadi tarikan apabila lebih 700 pelajar tempatan serta antarabangsa menyertai Gala Lingua Franca 2026 anjuran Pusat Bahasa Management and Science University (MSU) di sini.

Program yang berlangsung sejak 11 Mei lalu hingga hari ini itu bukan sahaja menjadi pentas memperkasa bahasa Melayu, malah membuka peluang kepada pelajar luar negara mengenali budaya masyarakat Malaysia dengan lebih dekat.

Ketua Pusat Bahasa MSU, Shelly Farina Mohd. Bakri berkata, sambutan diterima amat memberangsangkan apabila pelajar daripada pelbagai negara menunjukkan minat tinggi terhadap bahasa Melayu dan budaya tempatan.

Katanya, program tersebut turut dijayakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi pelbagai aktiviti melibatkan bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Perancis.

“Lebih 700 pelajar daripada pelbagai fakulti dan tahun pengajian terlibat dalam aktiviti sepanjang program ini berlangsung.

“Paling membanggakan apabila ada pelajar dari China, Filipina dan beberapa negara lain sanggup berusaha bersungguh-sungguh mempelajari bahasa Melayu,” katanya selepas majlis penutup Gala Lingua Franca 2026 di MSU hari ini.

Antara pengisian program termasuk Malay Language Discourse: ‘The Art of Wordplay’, Cultural Exploration: Inap Desa di Kampung Haji Dorani, English Choral Speaking dan Malam Kebudayaan Gala Lingua Franca 2026.

Mengulas lanjut, Shelly Farina berkata, rata-rata peserta turut berharap program seumpama itu diteruskan pada masa akan datang kerana memberi pengalaman baharu kepada mereka.

“Kita melihat program ini bukan sekadar aktiviti bahasa, tetapi platform menyatukan pelajar pelbagai bangsa dan negara menerusi budaya serta komunikasi.

“Gala Lingua Franca akan diteruskan pada masa depan dengan lebih banyak aktiviti menarik dan interaktif,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN