PETALING JAYA – Management and Science University (MSU) melalui Yayasan MSU (YM) menyumbang kira-kira RM500,000 kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 sekali gus menghargai kecemerlangan mereka dalam pencapaian berkenaan.
MSU menerusi kenyataan memaklumkan, sumbangan tersebut meliputi jumlah RM60,000 kepada enam Kolej Tingkatan Enam dan enam Pusat Tingkatan Enam Mod 2 dan Mod 3 Terbaik Kebangsaan STPM 2025 dengan masing-masing menerima tunai RM5,000.
“Seterusnya, biasiswa bernilai RM15,000 kepada mana-mana calon Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 yang diterima masuk ke MSU bagi program Ijazah Sarjana Muda.
“Kemudian, RM1,000 berserta biasiswa penuh Yayasan MSU kepada Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 (Kategori Orang Asli) iaitu Hazaril Hakimi Hassan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh, Temerloh, Pahang yang memperolehi 4A (PNGK 4.00),” katanya hari ini.
Menurut MSU, antara aspek utama diberi penekanan Kementerian Pendidikan melalui Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (PSKPM) 2024-2030 adalah untuk memastikan akses pendidikan berkualiti dapat diberi kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang atau lokaliti bagi membolehkan bidang pendidikan terus menjadi sektor utama kerajaan.
“Justeru, inisiatif seumpama ini bermatlamat untuk menarik lebih ramai calon mengikuti pengajian STPM serta julung kali diperkenalkan bagi kohort STPM 2025 dalam usaha mengukuhkan ekosistem prauniversiti negara, terutama pelajar Tingkatan Enam,” kata MSU.
Terdahulu, Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2025, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warga Asing (SKBMW) disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ia turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Pengerusi Majlis Peperiksaan merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad serta Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid. – KOSMO! ONLINE














