DESARU – Sebaik melangkah masuk ke perkarangan Anantara Desaru Coast Resort & Villas (Anantara Desaru) di sini dengan persekitaran yang cukup privasi, mewah, moden membuatkan tetamu resort sangat menghargai setiap detik dan saat yang dilaluinya untuk mencipta momen dengan pelbagai kenangan manis bersama orang tersayang serta ahli keluarga masing-masing.
Pelaburan dalam membayar kos percutian yang agak mewah di sini cukup berbaloi setelah menerima melihat sendiri persekitaran premis resort yang cukup mengagumkan selain dilayan sebagai tetamu kenamaan oleh kakitangan resort yang berpengalaman dan mesra melayan tetamu.
Tidak kira si cilik hinggalah kepada warga emas, semuanya mendapat layanan terbaik tatkala melangkah masuk ke resort yang di kelilingi dengan rimbunan taman unik serta pemandangan lautan yang luas di situ, tiada kata yang boleh digambarkan hanya jari jemari begitu sibuk merakam gambar di telefon pintar masing-masing untuk berkongsi cerita di platform media sosial.
Lebih menarik, sesi mendaftar masuk di resort juga berbeza daripada hotel mewah lain kerana tetamu tidak perlu berdiri di hadapan kaunter seperti biasanya tetapi mereka akan dibawa duduk di sofa di balkoni yang menghadap pemandangan indah daripada sebahagian besar Anantara Resort dengan menikmati tiupan angin pantai berdekatan.

Pastinya lelah memandu ke Desaru yang jauh di pelosok Selatan Negeri Johor akan hilang sebaik berada dalam posisi tersebut, selain dihidangkan dengan air menyegarkan serta kuih muih tradisional sebagai tanda selamat datang, berkunjung ke resort berkenaan.
Sambil menikmati pemandangan tersebut, kakitangan resort akan memberi penerangan sambil melayan tetamu yang begitu teruja dengan saat tersebut selain menyerahkan kunci kediaman sama ada daripada kategori bilik atau vila.
Pengalaman tersebut sangat berbeza pasti menaikkan keterujaan tetamu untuk merasai kemudahan lain yang disediakan di resort tersebut, sepanjang bercuti di sana.
Boleh memilih untuk menaiki buggy disediakan, tetamu akan dibawa ke kemudahan penginapan yang dipilih mengikut bajet masing-masing tetapi secara umumnya, tidak kira di mana sahaja bilik hotel yang dipilih atau vila, ia menawarkan satu pengalaman percutian yang pastinya begitu menenangkan.
Kehijauan taman, flora dan fauna di sekeliling membuatkan mana-mana tetamu rasa damai, apatah lagi bila berada di dua buah kolam renang luas bersesuaian untuk pelbagai peringkat umur selain menghabiskan masa di tepi pantai yang mengasyikkan.
Keindahan persekitaran kolam renang infiniti yang terletak paling hampir dengan tepian pantai dan terdapatnya restoran Sea. Fire. Salt dan juga Infinity Bar seperti memanggil tetamu untuk berenang, bersantai di dalam kolam tersebut sambil menikmati pemandangan indah khususnya ketika saat matahari terbenam.

Setelah puas bermandi manda yang menyebabkan kehilangan tenaga boleh dipulihkan dengan menikmati hidangan makanan dan minuman yang disediakan daripada barisan menu sangat menyelerakan serta dimasak oleh cef-cef berpengalaman.
Kepenatan bersantai di tepi kolam renang dan tepian pantai, kemudahan bilik hotel dan vila yang begitu mewah juga membuatkan tetamunya dapat berihat secukupnya, malah ia mampu membiarkan tetamu lupa segala permasalahan dan tekanan kerja yang ditinggalkan di pejabat serta di kediaman.
Pengalaman tidur, berihat dalam bilik hotel mewah yang memiliki rekaan dalaman yang menyegarkan membolehkan pengunjung dapat mencipta pengalaman percutian terindah bersama orang tersayang dan juga keluarga dengan memilih untuk melihat pemandangan di taman atau lautan.
Mengikut bajet masing-masing, tetamu boleh memilih daripada kategori bilik iaitu Deluxe Garden Balcony, Executive Garden Terrace, Executive Sunrise Sea Facing Balcony, Executive Sea View Balcony, Family Garden Balcony Room, Family Garden, Family Sea View Balcony.
Bagi kategori suite pula adalah Anantara Sea View Suite dan villa pula ditawarkan vila yang memiliki sebuah bilik kolam renang privasi serta vila dengan dua buah bilik yang memiliki kemudahan kolam renang, ruang istirehat privasi bersebelahan kolam renang.

Setiap vila seolah rumah kampung itu memiliki ciri rekaan dalaman yang eksklusif dengan ruang rihat, bilik tidur yang luas dengan bilik mandi dan tandas yang cukup mewah sehingga tetamu mahu menikmati setiap saat masa percutian di dalam premis itu sahaja.
Dalam pada itu, tetamu yang berkunjung ke resort ini tidak perlu keluar mencari makanan kerana segalanya tersedia di sana melalui restoran Turmeric yang menyediakan makanan bermula dari sarapan pagi hingga makan malam, terdapat juga kemudahan Spice Spoons by Anantara dan juga Designer Dining by Anantara.
Bagi mengisi masa lapang dan riadah untuk si cilik turut disediakan di Layang-Layang Kids Club dan Luncur Ombak Teens Club untuk remaja manakala bagi wanita, ibu dan pasangan suami isteri mahu melegakan otot serta melegakan keletihan badan selain minda, boleh juga berkunjung ke Anantara Spa.
Kemudahan pusat kesihatan dibuka 24 jam dan terdapat juga kemudahan basikal yang disediakan untuk berkayuh di sekeliling resort sambil beriadah. -KOSMO! ONLINE














