SEPANG- Seramai lapan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 ditahan tentera Israel hari ini selepas kapal yang dinaiki mereka dipintas sewaktu dalam perjalanan misi kemanusiaan ke Gaza.
Mereka termasuklah aktivis terkenal, Zainal Rashid Ahmad atau ZRA dari kapal Amanda yang ditahan pada pukul 5 petang tadi, manakala Muhamad Muhsin Zaidi yang menaiki kapal Isobella pula dipintas kira-kira 20 minit kemudian.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang menaiki kapal Josef dipercayai turut ditahan berdasarkan paparan langsung di Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di sini.
Rakyat Malaysia lain yang ditahan termasuklah S. Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd. Azhar dan Dr. Syakirin Mohamed Senin yang menaiki kapal Ferluto dipercayai ditahan pihak Zionis pada pukul 4.50 petang.
Mohammad Syazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari dari kapal Cactus pula ditahan pada pukul 4 petang.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal GSF dihampiri secara agresif oleh rejim bermula pukul 3 sehingga 6 petang tadi ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Menurutnya, ketika kejadian flotila itu berada pada kedudukan 241 batu nautika dari Pantai Gaza, di laluan perairan antarabangsa yang sah dan dilindungi di bawah undang-undang maritim antarabangsa UNCLOS.
“SNCC mengesahkan sekurang-kurangnya lima buah kapal melibatkan lapan rakyat Malaysia terkesan dalam insiden tersebut.
“Pihak IOF melakukan pendekatan provokatif menggunakan beberapa buah bot laju jenis RIBs (Rigid Inflatable Boats) ke arah flotila selain mengesan kehadiran dua kapal perang dan sebuah kapal tahanan berhampiran kawasan operasi flotila,” katanya.
Dalam pada itu, Sani Araby memaklumkan sebanyak kapal flotila termasuk yang membawa 21 rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran ke Gaza dalam keadaan risiko keselamatan yang sangat tinggi.
“SNCC memantau rapat perkembangan terkini operasi flotilla dan akan terus mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa berhubung status keselamatan dan pergerakan flotila,” ujarnya.
Pada 14 Mei lalu, misi GSF 2026 memasuki fasa akhir apabila sebanyak 54 kapal mula berlepas dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye menuju ke Gaza kira-kira pukul 7.30 malam waktu Malaysia.
Seramai 29 peserta Malaysia berusia 22 hingga 58 tahun terdiri daripada tenaga profesional pelbagai bidang berlayar dari Marmaris dengan peranan masing-masing termasuk kapten, pembantu kapten, kru, pegawai perubatan dan juruteknik. – KOSMO! ONLINE














