CHANGLUN – Fenomena awan tebal dan bergulung-gulung yang berlaku di sini pada pagi tadi kelihatan seperti shelf cloud atau sebahagian daripada sistem arcus cloud.
Pengarah Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz berkata, ia merupakan awan rendah yang terbentuk di hadapan ribut petir kuat.
“Bentuk awan itu berlapis dan menggulung ke depan, ia memang sangat dramatik dan biasa dikaitkan dengan hujan lebat, angin kencang atau ‘downburst’, ribut petir aktif dan perubahan cuaca secara mendadak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, fenomena seperti itu sememangnya boleh berlaku di utara Semenanjung termasuk Changlun ketika keadaan atmosfera sangat lembap dan tidak stabil.
“Ia bukan ‘tornado’ tetapi awan seperti itu kadang-kadang hadir bersama ribut petir kuat, kilat yang banyak, hujan sangat lebat dan angin garis lurus (straight-line wind),” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan penduduk Changlun dan kawasan sekitar gempar apabila melihat awan tebal bergulung-gulung yang panjang seperti ombak besar pada pagi tadi.
Menurut kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nasiha Abdul Rashid, dia menyedari awan bergulung tersebut kira-kira pukul 8.24 pagi tadi ketika keluar bersarapan pagi bersama suami dan tiga anak.
“Sebaik sahaja keluar dari kedai makan itu untuk menghantar anak ke kelas tuisyen, kami nampak awan rendah seperti dinding yang mana awan itu tebal bergulung-gulung seperti ombak besar.
“Itu kali pertama kami nampak keadaan awan seperti itu, memang menakutkan. Kami sempat merakam video fenomena awan itu yang berlaku dalam tempoh kira-kira 10 minit,” katanya.
Katanya, awan tersebut kelihatan menakutkan kerana bergerak laju, namun keadaan sekitar pada waktu itu tidak berangin atau hujan. – KOSMO! ONLINE













