fbpx
Allahyarham Khairil Idzhar.

Polis maut ketika kawad akibat serangan jantung, tiada unsur aniaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG- Seorang anggota polis yang meninggal dunia dipercayai selepas menjalani aktiviti berkawad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini kelmarin dilaporkan berpunca akibat penyakit jantung (Coronary Atherosclerosis).

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, laporan kematian terhadap pegawai rendah berusia 37 tahun itu diperoleh selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Katanya, penjelasan terperinci mengenai perkara itu telah disampaikan secara bersemuka oleh pakar patologi forensik kepada keluarga Allahyarham.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang menyangkal dakwaan tidak berasas yang mengatakan insiden itu mempunyai unsur penganiayaan.

“Pada masa sama, satu jawatankuasa penyiasat tetap ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut prosedur operasi standard secara profesional dan telus bagi memastikan setiap aspek diteliti sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Terdahulu, IPD Sepang mengesahkan kejadian kematian melibatkan pegawainya Koperal Khairil Idzhar Rodzi yang bertugas di Balai Polis Datuk Abu Bakar Baginda.

Insiden tersebut berlaku di pekarangan padang kawad IPD Sepang kira-kira pukul 4 petang kelmarin semasa sesi latihan kawad tambahan dijalankan.

Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri, Perlis pada pukul 11 pagi semalam.

Susulan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi tidak sahih demi menjaga kebajikan serta menghormati sensitiviti keluarga Allahyarham. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN