fbpx
Gambar hiasan

Telefon pintar gajet ‘berhantu’ masa kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
WAN AZHAR WAN ABDULLAH, PENOLONG PENGARANG BERITA

Setiap kali anda keluar rumah anda membawa bersama sebuah telefon, komputer, mesin taip, mesin faks, kamera, perakam video, surat khabar, fail, permainan arked, ensiklopedia dan banyak lagi. Tak percaya? Ini adalah hakikat kerana semua yang disebutkan itu terkandung dalam satu peranti bernama telefon pintar.

Ramai orang tidak dapat berenggang dengan gajet tersebut, malah tanpanya, mood mereka bertukar 360 darjah. Ia juga benda pertama yang mereka capai selepas bangkit daripada tidur.

Ini jauh berbeza daripada zaman remaja penulis atau lebih spesifik tahun 1980-an. Peranti paling trending ketika itu cuma Sony Walkman. Gajet ini boleh dilihat di mana-mana sahaja. Malah, penulis membawanya berjoging, menelaah di perpustakaan, berada di bilik kuliah, semasa di dalam bas dan kereta api atau ke bilik air.

Tidaklah selama mana pun, dua dekad selepas itu, Walkman sudah menjadi bahan artifak di muzium teknologi.

Tempat dan statusnya dirampas oleh telefon pintar. Ia adalah keperluan setiap lapisan masyarakat kaya mahupun miskin, tua ataupun muda.

Daripada pembacaan sendiri, wujud pelbagai pendapat bagi menjawab persoalan itu. Apabila kita sering bersama telefon pintar dan gajet itu menjadi sumber kegembiraan diri, lama kelamaan, ia menjadi faktor ‘kepuasan’ dalam diri.

Ketagihan kepada gajet tersebut menyamai ketagihan seorang perokok. Telefon pintar diperlukan untuk sistem badan kita merembes hormon endorfin, dopamina dan serotonin yang membuatkan kita tenang dan puas.

Gajet ini juga tidak memilih jantina atau usia. Kalau dahulu penyanyi veteran, Hattan menerusi lagu Gadis Jolobu berkata: “Jangan salah anggap kenapa lebihkan perempuan, sebab laki boleh hidup kalau campak dalam hutan,” namun ramai lelaki sekarang sukar hidup dalam hutan tanpa ‘line’ telefon pintar.

Menurut satu kajian, rakyat Amerika Syarikat secara purata meluangkan masa lebih tiga jam setiap hari untuk menatap telefon pintar. Hasil kajian tersebut adalah munasabah. Ini kerana telefon pintar sekarang jauh lebih canggih.

Telefon pintar masa kini digunakan untuk melakukan pelbagai benda.

Dianggarkan sehingga kini, sebanyak 3.5 bilion penduduk dunia memiliki pelbagai jenis telefon pintar dan lima bilion mempunyai telefon bimbit.

Secara purata setiap orang menghabiskan 144 minit setiap hari untuk melayari media sosial seperti Facebook, Intagram, Twitter dan lain-lain menggunakan telefon pintar. Persoalannya adakah masa yang diluangkan itu terlalu lama atau memadai.

Semua persoalan tersebut sukar dijawab, namun apa yang pasti masa yang diluangkan di media sosial dan telefon pintar akan terus bertambah.

Pada zaman teknologi canggih ini, ada orang boleh hidup tanpa bersosial dan kekok bergaul tetapi handal ‘bermasyarakat’ di media sosial. Telefon pintar menjadi perantara antara realiti sebenar dan realiti maya mereka.