PETALING JAYA – Di sebalik kesibukan mengejar masa demi mencari rezeki, nilai kemanusiaan dan empati tetap mengatasi segala-galanya bagi seorang penghantar makanan (rider).
Menerusi sebuah hantaran video yang dimuat naik oleh Ochulaah di TikTok, seorang pemuda sanggup memberhentikan motosikalnya demi membantu seorang warga emas yang bergerak menggunakan kerusi roda di pekarangan sebuah pusat beli-belah.
Menerusi rakaman tersebut, pemuda itu turut mengalihkan warga emas tersebut ke tempat yang lebih redup dan membantu menguruskan bakul barangan runcit milik pakcik itu.
Dia juga dilihat meluangkan masa berbual seketika dan memastikan keselamatan warga emas tersebut berada dalam keadaan baik di tepi laluan jalan raya sebelum beredar.
“Abang rider itu tak lalu je…dia pilih untuk berhenti dan tolong pak cik itu. Itu yang buat aku sebak.
“Dalam sibuk kerja pesanan dan cari rezeki, abang ini masih sempat fikir pasal orang lain. Kadang-kadang orang yang paling penat cari rezeki, dia juga yang paling ikhlas membantu,” katanya.
Menurutnya, tujuannya merakam bukan dengan niat untuk ‘viral’, tetapi kerana tersentuh melihat kebaikan yang dilakukan oleh pemuda tersebut.
“Kecil bagi orang lain, tapi besar bagi pak cik itu. Terima kasih abang rider,” ujarnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut memberi pelbagai reaksi positif, pujian, serta doa agar pak cik dan pemuda itu dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan penghantaran makanannya.
“Semoga motor kau laju hantar pesanan, motor tak buat masalah, pesanan banyak dan selamat sepanjang perjalanan,” kata Ikamazila.
“Dalam dunia ini ramai orang baik baik, jika kita tidak menemui salah seorang daripada mereka, kita jadilah salah seorang daripada mereka,” jelas Adrianedy7 pula.
“Semoga pak cik dan abang rider dalam jagaan Allah selalu,” ujar Nrshirashira. – KOSMO! ONLINE
@ochulaah* “Abang rider tu tak lalu je… dia pilih untuk berhenti dan tolong pakcik tu. Itu yang buat aku sebak.” * “Dalam sibuk kejar order dan cari rezeki, abang ni masih sempat fikir pasal orang lain 🥹” * “Kadang orang yang paling penat cari rezeki, dia jugak yang paling ikhlas membantu.” * “Aku rakam bukan sebab nak viral… tapi sebab hati aku tersentuh tengok kebaikan macam ni.” * “Semoga segala urusan abang rider ni dipermudahkan, sebab dia dah mudahkan urusan pakcik tu 🤍” * “Kecil bagi orang lain, tapi besar bagi pakcik tu. Terima kasih abang rider.” izin saya post bang🙏🏻🙏🏻














