JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM3.6 juta bagi pelaksanaan Tabika Kemas Bangsa Johor (TKBJ) dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan awal kanak-kanak sebagai sebahagian agenda pembangunan modal insan negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, TKBJ merupakan satu inisiatif pendidikan yang diperkenankan bagi melengkapkan ekosistem Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), hasil cetusan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan bagi memastikan pembangunan pendidikan anak-anak Bangsa Johor diberi perhatian sejak peringkat awal.
“Pelaksanaan TKBJ turut mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.
“Bagi menjayakan inisiatif ini, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan RM3.6 juta bagi pelaksanaan Tabika Kemas Bangsa Johor.
“Peruntukan ini melibatkan transformasi infrastruktur, latihan guru serta pemerkasaan silibus pembelajaran di empat premis membabitkan tujuh kelas TKBJ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa Tabika Kemas Bangsa Johor di Flat Perumahan Larkin Court 1, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Onn Hafiz berkata, inisiatif tersebut selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan ekosistem pendidikan yang lebih berkualiti dan berdaya saing kepada generasi muda Johor.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.4 juta bagi kerja-kerja menaik taraf semula Flat Perumahan Larkin Court 1 menerusi pengecatan semula ketiga-tiga blok perumahan di kawasan tersebut.
Katanya, usaha berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian. – KOSMO! ONLINE














