JOHOR BAHRU – Seorang pemandu bas berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM537,201 lesap selepas terjerat dengan sindiket pelaburan saham palsu yang diiklankan di Facebook.
Wanita tempatan berusia 48 tahun itu dikatakan tertarik dengan tawaran keuntungan lumayan dalam tempoh singkat sebelum membuat pelbagai transaksi ke akaun diberikan suspek.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa melihat iklan pelaburan berkenaan ketika melayari Facebook pada Mac lalu.
“Tertarik dengan keuntungan berlipat kali ganda yang dijanjikan, mangsa menekan pautan disediakan sebelum berurusan dengan suspek.
“Mangsa kemudian melakukan 12 transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM537,201 antara 5 Mac hingga 8 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa mula menyedari dirinya diperdaya selepas diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi membolehkan keuntungan pelaburan dikeluarkan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Siasatan turut dijalankan terhadap penglibatan ‘keldai akaun’ yang dipercayai digunakan sindiket untuk menerima wang daripada mangsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














