PETALING JAYA – Kapal Alcyone yang membawa beberapa peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 termasuk dua rakyat Malaysia iaitu Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs dan Chin dijangka tiba di perairan Gaza kira-kira 16 jam lagi setakat pukul 11.30 pagi (waktu Malaysia).
Berdasarkan paparan di Sumud Nusantara Tracker, kapal Alcyone kini memecut pada kelajuan 15.5 kilometer perjam (km/j) dan dijangka melepasi Zon Merah 2 dalam tempoh empat jam dari sekarang.
Haroqs dan Chin antara empat rakyat Malaysa yang masih berjaya meneruskan pelayaran misi ke Gaza meskipun mendapat ancaman daripada rejim Zionis.
Dua lagi iaitu Syed Amirul (Don Juan) dan Dr. Thanisah (Zefiro) sedamg mengekori rapat di belakang mereka dengan kelajuan 12 hingga 14 km/j.
Terdahulu, seramai 29 rakyat Malaysia meneruskan pelayaran daripada Istanbul, Turkiye bersama-sama lebih 400 peserta global dalam memecahkan kepungan Israel demi bantuan kemanusia buat rakyat Palestin.
Bagaimanapun, sebahagian besar mereka telah ditahan oleh tentera Israel ketika pemintasan dilakukan di tengah laut sejak pagi semalam.
Dalam kemas kini kapal flotila yang masih berlayar adalah sebanyak 11 buah dan 60 telah dipintas pasuka rejim pada hari ke-37 pelayaran misi. – KOSMO! ONLINE














