PETALING JAYA – Gelagat seorang anak kecil menjadi perhatian apabila memberitahu ibunya bahawa dia terlupa memakai kasut sebaik tiba di hadapan pagar sekolah.
Menerusi sebuah hantaran di Threads oleh Nuramirah_Mohdyusof, dia memuat naik gambar memaparkan anaknya hanya memakai stoking hitam tanpa kasut sekolah ketika mahu turun dari kenderaan.
“Dah hantar anak sampai depan sekolah, elok dah nak turun…sekali dia cakap, mama saya lupa pakai kasut.
“Aku terus tengok kaki. Ya Allah betul lah dia tak pakai kasut, stoking je ada,” tambahnya lagi.
Rata-rata pengguna turut terhibur dengan perkongsian berkenaan, malah ada yang turut berkongsi pengamalan serupa berhadapan dengan kerenah anak-anak setiap pagi sebelum ke sekolah.
“Dah sampai depan sekolah baru dia cakap beg sekolah tertinggal. Zuppp terus darah naik atas kepala,” ujar Izwanieazieda.
“Tapi saya hantar dia ke sekolah dulu dan bagitahu cikgunya nanti saya hantarkan beg. Cikgu cakap tak payah. Fuhhh lega,” tambahnya lagi.
Seorang lagi pengguna, Suzieann23 pula menceritakan situasi di mana anaknya pernah tersalah memakai baju sekolah sehingga terpaksa berpatah balik ke rumah untuk menukarnya.
“Anak pula salah pakai baju, masa tu dia darjah tiga. Tengok kawan-kawan pakai baju lain…sampai sekolah terus pusing balik,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














