TANGKAP layar menunjukkan peminta sedekah palsu cuba meraih simpati orang ramai melalui media sosial seperti TikTok dan Facebook.

Peminta sedekah TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Media sosial se­perti TikTok kini menjadi ‘lubuk emas’ untuk meminta sedekah apabila kisah sedih dimanipulasikan demi meraih sumbangan dalam jumlah besar dengan cara yang mudah dan pantas.

Pakar-pakar kriminologi dan psikologi mendedahkan, kumpulan atau individu tertentu semakin licik mengeksploitasi sifat pemurah rakyat Malaysia dalam pelbagai isu seperti kesusahan, kemanusiaan dan kemiskinan.

Penggunaan teknologi kecerdasan bu­at­an (AI) memudahkan lagi penciptaan naratif palsu yang lebih meyakinkan dan mereka hanya perlu mereka-reka cerita sebelum duit ‘sedekah’ masuk secara berterusan.

Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, trend itu dikategorikan sebagai satu bentuk eksploitasi emosi yang menjurus kepada ‘soft crime’ atau jenayah ringan.

Katanya, simpati orang ramai dijadikan alat untuk mendapatkan dana secara haram.

“Mereka hanya perlu mereka-reka cerita, kemudian wang akan masuk kerana orang ramai mudah terkesan dan terus menyumbang.

“Mereka juga menggunakan keldai akaun bagi tujuan penerimaan wang daripada orang ramai. Saya tahu ramai ingin menderma, namun kena berwaspada.

“Ada yang benar-benar memerlukan, namun cabaran utama kini adalah membezakan antara kisah benar dan palsu,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau tidak menafikan tekanan hidup menjadi antara faktor pendorong, ­namun unsur ketamakan turut memainkan peranan.

“Ada yang benar-benar terdesak, tetapi tidak kurang juga mengambil kesempatan demi hidup lebih mewah. Ini menunjukkan hakisan nilai moral dalam masyarakat te­lah berlaku,” katanya.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim pula berkata, media sosial kini bertukar menjadi ‘pasar terbuka emosi’ tanpa kawalan ketat.

Katanya, masyarakat pula cenderung mempercayai kandungan tular tanpa membuat semakan kerana terpengaruh dengan jumlah perkongsian serta komen.

“Apabila melihat perkongsian dan komen yang tinggi, mereka menganggap ia sahih, sedangkan ia hanya persepsi sosial yang belum tentu sahih.

“Saya harap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperketat pemantauan serta memperkukuh mekanisme pengesahan kandungan,” katanya.

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, trend itu berkait rapat dengan keperluan emosi yang tidak dipenuhi se­perti keinginan untuk dihargai, disayangi dan diiktiraf.

Katanya, media sosial menjadi ruang untuk mendapatkan validasi sehingga ada yang cen­derung mencari perhatian secara terbuka dengan membesar-besarkan kesusahan sendiri dan orang lain.

“Lebih membimbangkan apabila ia disalah guna dan jika tidak dikawal, mungkin akan menyebabkan berlakunya penyelewengan wang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN