JOHOR BAHRU – Seorang pengarah sebuah syarikat import dan eksport berdepan denda sehingga RM3 juta selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengelak duti kastam berjumlah RM150,319.50, enam tahun lalu.
Tertuduh, Sabariah Ibrahim, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.
Wanita itu didakwa secara sedar terlibat dalam pengelakan secara fraud pembayaran duti kastam berjumlah RM150,319.50 di Cawangan Import, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada pukul 3.41 petang, 2 Januari 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 yang dibaca bersama Seksyen 140 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta berkenaan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda minimum 10 kali ganda nilai duti iaitu RM1,503,195 sehingga 20 kali ganda atau RM3,006,390, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan Sabariah diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 September ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Syarikat Perkhidmatan Import dan Eksport Toon Sdn. Bhd. turut didakwa atas pertuduhan mengelak duti kastam membabitkan nilai sama.
Sabariah yang hadir sebagai wakil syarikat mengaku tidak bersalah. Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama yang membawa hukuman denda dan penjara.
Mahkamah menetapkan 6 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen, manakala tiada jaminan dikenakan terhadap syarikat.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Amiera Wahyunie Zainordin dan Atheerah Azizan, manakala Sabariah serta syarikat tersebut diwakili peguam Abd. Rahim Ali. – KOSMO! ONLINE














