PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara memutuskan supaya satu prosiding inkues diadakan di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi menentukan punca dan sebab kematian selain meneliti fakta serta keadaan yang membawa kepada kematian tiga individu dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu.
Jabatan Peguam Negara berkata, keputusan itu dibuat selapas pihaknya menerima dan meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia.
“Setelah mempertimbangkan keseluruhan keterangan dan dapatan siasatan, jabatan ini memutuskan supaya satu prosiding inkues diadakan di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
“Prosiding inkues ini bertujuan untuk menentukan punca dan sebab kematian serta meneliti fakta dan keadaan yang membawa kepada kematian tersebut.
“Ia termasuk mengenal pasti sama ada wujud atau tidak sebarang unsur jenayah berhubung kematian tiga individu akibat insiden tembakan di Durian Tunggal,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jabatan Peguam Negara berkata, pihaknya memandang serius setiap insiden yang melibatkan kehilangan nyawa.
“Sehubungan itu, keputusan untuk mengadakan prosiding inkues ini mencerminkan komitmen jabatan bagi memastikan segala fakta dan keadaan berkaitan diperiksa secara menyeluruh, telus dan bebas selaras dengan kehendak undang-undang.
“Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap tindakan dan proses perundangan dilaksanakan dengan adil, profesional serta berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.
Dalam kejadian 24 November tahun lalu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis di sebuah ladang kelapa sawit.
Insiden itu menyebabkan anggota polis berusia awal 30-an, mengalami kecederaan serius pada lengan kiri. – KOSMO! ONLINE














