RUMAH sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk berehat bersama keluarga, namun bagi Eliza (bukan nama sebenar), segala-galanya berubah selepas jiran yang tinggal bersebelahan meninggal dunia akibat penyakit misteri.
Sejak hari pengebumian, suasana di kawasan perumahan di Raub, Pahang itu bertukar suram, malah rumah jiran tersebut dibiarkan kosong tanpa penghuni.
Pada mulanya Eliza menyangka perasaan seram yang dialaminya hanyalah kerana terlalu memikirkan pemergian jirannya.
Namun, satu demi satu kejadian aneh mula berlaku sehingga membuatkan dia hilang ketenangan.
Katanya, gangguan pertama berlaku beberapa hari selepas rumah sebelah kosong. Hampir setiap malam, sekitar pukul dua hingga tiga pagi, kedengaran bunyi seseorang mengetuk pintu rumahnya.
“Ketukan itu perlahan pada mulanya sebelum bertukar semakin kuat, seolah-olah ada individu yang benar-benar mahu masuk.
“Suami saya beberapa kali membuka pintu untuk melihat siapa yang datang, namun halaman rumah sentiasa kosong,” katanya ketika dihubungi CitaRasa.
Tambah Eliza, anehnya, apabila pintu ditutup semula, bunyi ketukan itu kembali kedengaran. Ada masanya bunyi tersebut beralih ke dinding rumah, seperti seseorang mengetuk menggunakan objek keras dari arah rumah jiran yang tidak berpenghuni.
Eliza cuba mengabaikannya, namun gangguan semakin menjadi-jadi. Pada waktu malam, dia sering terdengar bunyi perabot diseret dari rumah sebelah.
Bunyi kerusi bergesel di lantai, almari dialihkan dan seperti ada orang berjalan berulang-alik di dalam rumah yang sepatutnya kosong.
Pada mulanya dia menyangka mungkin waris datang mengemas rumah, tetapi apabila diperhatikan pada keesokan harinya, pintu pagar masih berkunci dan tiada sebuah kenderaan pun berada di hadapan rumah tersebut.
Kongsi Eliza lagi, kejadian yang benar-benar membuatkan bulu romanya meremang berlaku pada suatu petang ketika dia menyidai pakaian di halaman belakang.
Ketika mengangkat bakul pakaian, secara tidak sengaja pandangannya tertumpu ke arah tingkap rumah jiran.
“Di sebalik langsir yang separuh terbuka, saya terlihat satu bayang hitam berdiri tegak memerhatikannya.
“Bayang itu tidak bergerak, hanya berdiri kaku di tingkap. Saya segera mengalihkan pandangan kerana menyangka matanya tersilap melihat,” ujarnya
Namun, kata Eliza lagi, apabila dia menoleh semula beberapa saat kemudian, bayang itu masih berada di tempat yang sama sebelum perlahan-lahan menghilang ke dalam kegelapan rumah.
Selepas kejadian tersebut, Eliza mula berasa tidak selesa setiap kali berada di luar rumah. Dia akan memastikan kerja menyidai pakaian dilakukan secepat mungkin sebelum masuk semula ke dalam rumah.
Malah, setiap kali melalui tingkap yang menghadap rumah jiran, dia akan mengelakkan diri daripada memandang ke arah itu.
Namun, pengalaman paling menyeramkan berlaku beberapa minggu kemudian. Pada suatu malam, Eliza terjaga kerana terdengar bunyi ketukan di tingkap bilik tidurnya.
“Dalam keadaan mamai, saya membuka langsir sedikit untuk melihat apa yang berlaku. Alangkah terkejutnya apabila terlihat sosok jirannya yang telah meninggal dunia sedang berdiri di luar tingkap rumah.
“Wajahnya pucat, matanya memandang tepat ke arah saya tanpa berkelip, manakala tubuhnya hanya berdiri diam tanpa sebarang pergerakan,” kongsinya.
Ketika itu Eliza berkata, dia menjerit sekuat hati sehingga mengejutkan seluruh ahli keluarganya. Apabila suaminya berlari keluar untuk memeriksa keadaan di luar rumah, kelibat itu lenyap begitu sahaja.
Sejak malam itu, gangguan semakin kerap berlaku. Bunyi ketukan, geseran perabot dan rasa seperti diperhatikan menjadi rutin harian yang menghantui keluarga mereka.
Eliza mengakui setiap kali malam menjelang, perasaan cemas mula menyelubungi dirinya sehingga sukar melelapkan mata.
Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan emosinya, malah turut memberi kesan kepada anak-anak yang mula takut untuk tidur bersendirian.
Akhirnya, selepas berbincang bersama keluarga, mereka membuat keputusan untuk berpindah ke rumah baharu walaupun masih terikat dengan pelbagai komitmen.
Bagi Eliza, ketenangan dan keselamatan keluarga jauh lebih penting daripada terus tinggal di rumah yang menyimpan terlalu banyak kenangan menakutkan.














