MENGALAMI gangguan mistik atau berdepan dengan makhluk menakutkan bukan perkara diinginkan apatah lagi satu hal yang hendak dibanggakan.
Namun, bagi jejaka kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang ingin dikenali sebagai Shah ini mengakui perkara itu hanya hal biasa sepanjang enam tahun menetap di sebuah kediaman di Kuala Lumpur.
Rumah yang dibeli secara pembelian sekunder (sub-sale) itu sering membuatkan waktu tidur Shah terganggu dengan pelbagai bunyi aneh dan kelibat misteri.
Katanya, antara insiden yang paling sukar dilupakan berlaku ketika dia sedang menonton perlawanan bola sepak secara langsung kira-kira pukul 3 pagi di ruang tamu rumahnya.
“Ketika sedang fokus menonton televisyen, tiba-tiba saya nampak satu lembaga menyerupai wanita berambut panjang dan berpakaian putih melintas di hadapan televisyen.
“Kelibat itu muncul hanya beberapa saat sebelum menghilang. Saya terus bangun untuk memastikan apa yang dilihat dengan mencarinya di seluruh rumah, tetapi tidak menemui apa-apa,” katanya kepada CitaRasa.
Tambah Shah, selepas kejadian tersebut pelbagai gangguan lain mula berlaku termasuk beberapa barangan di dalam rumah yang sering berubah kedudukan tanpa diketahui puncanya.
Menurutnya, adakalanya kunci, alat kawalan jauh televisyen dan beberapa barangan peribadi lain yang diletakkan di sesuatu tempat ditemui di lokasi berbeza.
“Pada mulanya, saya fikir mungkin saya terlupa di mana saya meletakkannya, tetapi apabila perkara sama berulang kali berlaku, ia mula menimbulkan rasa pelik.
“Kadangkala televisyen tertutup sendiri ketika sedang menonton atau akan terbuka sendiri terutama apabila ingin masuk tidur,” ujarnya.
Lebih meresahkan, Shah mendakwa sering melihat penampakan menyerupai puntianak sekiranya dia terlupa menutup tingkap tandas sebelum waktu senja.
Katanya, rumah tersebut mempunyai sebuah pokok besar di bahagian belakang rumah dan setiap kali tingkap tandas dibiarkan terbuka menjelang senja, dia akan ternampak kelibat wanita berambut panjang berdiri berhampiran pokok berkenaan.
“Kadang-kadang saya nampak kelibat itu berdiri kaku. Ada masanya pula saya terdengar bunyi seperti orang merintih dari arah pokok tersebut pada waktu malam.
“Disebabkan terlalu kerap berlaku, saya akan memastikan tingkap tandas ditutup sebelum masuk waktu maghrib,” katanya.
Selain penampakan misteri, Shah turut mendakwa berdepan gangguan fizikal ketika sedang tidur pada waktu malam.
Menurutnya, dia pernah beberapa kali terjaga apabila merasakan selimut ditarik dari tubuhnya selain mendengar bunyi pintu dihempas dengan kuat walaupun tiada individu lain berada di dalam rumah.
“Perasaan itu sangat sukar digambarkan lebih-lebih lagi ketika saya terjaga kerana terasa seperti ada seseorang menarik selimut dari hujung kaki.
“Pernah juga pintu bilik tidur berbunyi kuat seperti dihempas walaupun semua tingkap dan pintu telah dikunci sebelum masuk tidur,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai kejadian menakutkan, Shah berkata, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Amalan menunaikan solat, membaca al-Quran, berzikir serta berdoa menjadi rutin harian bagi memohon perlindungan daripada sebarang perkara yang tidak diingini.
“Saya percaya hanya Allah yang mampu memberikan perlindungan. Setiap kali berasa takut, saya akan memperbanyak ibadah dan memohon agar dijauhkan daripada sebarang mudarat.
“Syukur tiada sebarang gangguan ketika saya beribadah dan boleh dikatakan sepanjang enam tahun tinggal di rumah itu saya tidak pernah sekali pun menonton filem seram kerana bimbang nanti ‘benda-benda’ pelik itu menonton bersama,” seloroh lelaki kini berusia lingkungan 40-an itu.
Bagaimanapun selepas enam tahun menetap di rumah tersebut, Shah akhirnya berpindah apabila menerima arahan pertukaran ke lokasi tempat kerja baharu.
Rumah berkenaan kemudian dijual dan dia kini menetap di kediaman lain dan sudahpun mendirikan rumah tangga.
Kata Shah, kejadian yang berlaku sekitar 15 tahun lalu itu masih segar di ingatan sekali gus menjadi peringatan buat dirinya agar tidak pernah lupa menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam dan terus beribadah kepada Allah.
“Selepas berpindah ke rumah baharu, alhamdulillah saya tidak lagi mengalami sebarang gangguan atau kejadian misteri seperti yang pernah dialaminya sebelum itu. Kehidupan menjadi lebih tenang, tiada lagi penampakan, bunyi-bunyi pelik atau gangguan ketika tidur seperti dahulu.
“Apa yang berlaku di rumah lama selama enam tahun itu menjadi pengalaman yang sukar dilupakan, namun saya bersyukur kerana semuanya sudah berakhir,” katanya.
















