PETALING JAYA – Rakaman video memaparkan kelibat menyerupai lembaga hitam di atas bumbung sebuah kenderaan ketika hujan renyai pada waktu maghrib di Lebuh Raya Senai-Desaru mencetuskan rasa seram dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi video yang dimuat naik pengguna @Hasrainn di Threads, hantaran itu memaparkan sebuah kenderaan dipercayai jenis utiliti sukan (SUV) berwarna putih mengekori rapat kenderaan perakam.
Lebih menyeramkan kelihatan satu lembaga gelap berbentuk seakan-akan manusia sedang berada betul-betul di bahagian bumbung.
“Maghrib di Lebuh Raya Senai Desaru. Apa tu hujan-hujan ni?,” tulis pemilik video.
Keadaan cuaca yang suram, jalan yang basah serta rakaman yang agak kabur menambahkan lagi suasana mendebarkan sehingga ramai tertanya-tanya apakah sebenarnya objek berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai mengakui meremang selepas menonton rakaman tersebut.
“Aku kalau jadi kereta belakang dia memang pecut habis,” kata seorang pengguna.
Beberapa pengguna pula mengaitkannya dengan kisah-kisah misteri yang sering diceritakan berlaku di lebuh raya berkenaan khususnya pada waktu senja.
“Pernah ada pengalaman sini. Lalu pukul 11 malam nak pergi ke Kota Tinggi sebab nak ambil tunang kerja sana. Saya memandu seorang tiba-tiba tak ada isyarat, lagu tak ada jadi sunyi sepi. Tiba-tiba dengar bunyi botol dibuat main dekat kerusi belakang,” tulis Effa.
“Lebuh Raya Senai-Desaru memang keras. Member dulu kena lebih kurang macam ini lah. Dia pandu malam, kereta perlahan walau dah tekan mintak. Bila tengok cermin belakang, nampak ada kaki tergantung duduk dari bumbung belakang,” komen AmrulSfy. – KOSMO! ONLINE














