BERDIRI di puncak Gunung Everest pada ketinggian 8,849 meter dari aras laut menjadi detik paling bermakna dalam hidup pendaki negara, Khafiz Al Kichok.
Namun baginya, kejayaan sebenar bukan sekadar menjejakkan kaki di ‘bumbung’ dunia, sebaliknya memastikan dirinya pulang ke tanah air dengan selamat selepas menempuh salah satu cabaran paling ekstrem di muka bumi iaitu di banjaran antara Nepal dan Tibet.
Pendakian yang menjadi impian sejak 30 tahun lalu itu telah dirancang secara sistematik selama dua dekad. Akhirnya, ia menjadi kenyataan hasil gabungan disiplin, ketabahan serta persediaan rapi dari segi fizikal dan mental.
Menurut Khafiz, sebaik sahaja tiba di puncak Everest, dia merasai satu kepuasan yang sukar digambarkan kerana berjaya merealisasikan cita-cita terbesar dalam hidupnya.
“Fikiran pertama saya bukanlah tentang meraikan kejayaan itu. Sebaliknya, saya segera mengingatkan diri bahawa pendakian belum berakhir kerana perjalanan turun dari puncak merupakan fasa lebih berbahaya.
“Hakikat bahawa kebanyakan kemalangan berlaku ketika menuruni gunung membuatkan saya sentiasa berwaspada dan memberi tumpuan penuh pada setiap langkah,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa.
Tambahnya, perjalanan menuju Everest juga bukanlah sesuatu yang mudah apabila berhadapan kekangan dari aspek kewangan.
Khafiz mengakui, dia pernah menjual rumahnya bagi membiayai pendakian Gunung K2 sebelum ini.
Peluang menghasilkan sebuah dokumentari mengenai Everest akhirnya membuka ruang untuk dia meneruskan impian tanpa perlu memikirkan kos ekspedisi yang tinggi.

Bagaimanapun, sebaik tiba di Everest, cabaran lain pula menanti apabila proses penyesuaian badan terhadap altitud tinggi terganggu akibat laluan dihalang oleh bongkah ais glasier besar atau serac yang sangat berbahaya.
Kongsinya, keadaan itu menyebabkan masa untuk melakukan pendakian secara berperingkat bagi membantu proses aklimatisasi menjadi lebih terhad.
“Detik yang paling menguji ketahanan fizikal dan mental berlaku ketika saya bergerak dari Kem 3 ke Kem 4.
“Laluan yang panjang serta keadaan tubuh semakin keletihan memaksa saya mengerah segala tenaga masih berbaki,” ujarnya.
Katanya, setibanya di Kem 4, dia membuat keputusan untuk berehat semalaman kerana tubuhnya sudah tidak mempunyai tenaga bagi meneruskan pendakian pada sebelah malam.
Keputusan itu menggambarkan kepentingan membuat pertimbangan yang tepat dalam situasi kritikal, sekali gus membuktikan bahawa pendakian gunung bukan bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata.
Bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia, Khafiz menjalani latihan intensif selama berbulan-bulan melibatkan latihan ketahanan, kekuatan otot serta pendakian sambil membawa beban berat.
Dia turut mendapatkan bimbingan jurulatih peribadi dan menggunakan kaedah latihan hipoksik, termasuk tidur di dalam khemah selama enam minggu bagi membantu tubuh menyesuaikan diri dengan keadaan kekurangan oksigen.
Dari sudut mental pula, Khafiz memberitahu, pengalaman menawan Manaslu dan K2 banyak membantu dia membina keyakinan, kesabaran serta keupayaan membuat keputusan dalam keadaan berisiko tinggi.
Baginya, kejayaan di Everest bukan ditentukan oleh kelajuan, sebaliknya kebijaksanaan mengurus tenaga serta membuat keputusan pada masa tepat.
“Sepanjang persediaan dan ekspedisi, teknologi turut memainkan peranan penting.
“Saya menggunakan jam tangan pintar Garmin fēnix 8 untuk memantau kadar denyutan jantung, altitud serta prestasi tubuh secara berterusan.

“Data yang diperoleh membolehkan saya memahami tindak balas badan terhadap altitud tinggi dan menentukan tindakan seterusnya dengan lebih tepat,” jelasnya.
Ujar Khafiz, peranti komunikasi satelit, Garmin inReach Mini 3 Plus pula membantunya berhubung dengan keluarga, walaupun berada di kawasan tanpa liputan rangkaian telefon.
Kemudahan tersebut memberikan ketenangan kepada insan tersayang sepanjang ekspedisi berlangsung.
Dia memaklumkan, kejayaan sebenar bukan berlaku ketika berdiri di puncak Everest, sebaliknya apabila selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pada saat itulah dia benar-benar merasakan impian yang dibina selama puluhan tahun telah disempurnakan.
Khafiz percaya, pencapaian tersebut bukan miliknya seorang, sebaliknya ia dikongsi bersama keluarga, rakan-rakan dan semua penyokong yang sentiasa memberikan semangat.
“Kepada rakyat Malaysia yang mempunyai impian besar, saya ingin berpesan agar tidak takut mengejar cita-cita, walaupun kelihatan mustahil.
“Bagi saya, setiap impian boleh menjadi kenyataan jika disertai keberanian, kesungguhan dan semangat untuk terus melangkah.
“Seperti pegangan hidup saya, ‘jika bukan sekarang, bila lagi?’” tambahnya.














