NEW YORK – Saingan Piala Dunia 2026 sudah menghampiri penghujung dengan perlawanan akhir awal pagi esok mempertemukan dua kuasa besar bola sepak dunia, penyandang juara, Argentina bakal turun menentang Sepanyol di Stadium New Jersey.
Sebelum kejohanan bermula, Opta Supercomputer meramalkan Sepanyol sebagai pilihan utama untuk menjuarai Piala Dunia, apabila simulasi yang dijalankan menyaksikan skuad kendalian Luis De La Fuente meraih 16.1 peratus (%) kemungkinan.
Ramalan yang dilakukan itu lebih tinggi berbanding mana-mana pasukan lain yang bertanding termasuk Argentina yang hanya memiliki peluang kira-kira 10.4% untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi di Qatar sebelum ini.
Bakat luar biasa Yamal menjadi antara faktor utama yang menjadikan Sepanyol pilihan utama, malah dia juga merupakan sebahagian daripada skuad membantu La Roja menjuarai Euro 2024 dengan aksi yang begitu cemerlang dua tahun lalu.
Yamal turut memasuki kejohanan ini dalam prestasi terbaik. Dalam kalangan pemain La Liga, hanya Kylian Mbappé mencatat lebih banyak penglibatan gol dalam semua pertandingan musim ini berbanding Yamal yang merekodkan 41 penglibatan gol hasil 24 jaringan dan 17 bantuan gol.
Sejak muncul juara Eropah, Sepanyol terus mengekalkan rentak cemerlang mara ke final Liga Negara-Negara UEFA sebelum tewas kepada Portugal menerusi penentuan sepakan penalti.
Mereka juga mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia dengan begitu meyakinkan apabila muncul juara kumpulan mengatasi Türkiye tanpa mengalami sebarang kekalahan dalam enam perlawanan.
Pemain tengah Manchester City, Rodri juga kini kembali cergas juga menjadi punca kekuatan yang dimiliki Sepanyol selain Mikel Merino yang cukup efisien sebagai super sub serta Mikel Oyarzabal yang memiliki ketajaman di depan gawang.
Berdasarkan sejarah Sepanyol di Piala Dunia, ini hanyalah merupakan kali kedua pasukan itu mara ke pentas final dalam 17 edisi penyertaan selepas menjuarainya pada 2010 menyebabkan mereka tidaklah dianggap sebagai pakar final bagi kejohanan ini berbanding rekod cemerlang mereka di Kejohanan Euro.
Bagaimanapun, prestasi semasa Sepanyol yang belum tewas dalam 37 perlawanan terakhir, malah hanya bolos sekali sepanjang kempen Piala Dunia kali ini melibatkan enam perlawanan membuktikan mereka memiliki keinginan yang cukup tinggi untuk muncul juara. – AGENSI














