fbpx
KANE dan Bellingham dilihat tidak mendapat sokongan yang baik daripada pemain sayap menyebabkan England gagal mara ke pentas final. - AFP

Piala Dunia 2026: Owen mahu England guna jurulatih tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Bekas penyerang England, Michael Owen melancarkan kritikan pedas dengan berharap aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2026 bakal menjadi perlawanan terakhir Thomas Tuchel mengendalikan The Three Lions.

Kenyataan itu hadir ketika Tuchel terus menjadi sasaran selepas England mensia-siakan kelebihan satu gol sebelum tewas 1-2 kepada Argentina pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2026.

Menurut Owen, sudah tiba masanya skuad kebangsaan hanya dikendalikan oleh jurulatih tempatan kerana sejarah jelas membuktikan tiada negara pernah menjuarai Piala Dunia di bawah kendalian jurulatih import.

“Sepatutnya tidak wujud istilah jurulatih asing dalam bola sepak antarabangsa,” katanya ringkas menerusi media sosial.

Kenyataan itu merujuk kepada fakta bahawa final Piala Dunia kali ini menemukan dua jurulatih tempatan, Luis De La Fuente yang membimbing Sepanyol dan Lionel Scaloni selaku pengendali Argentina.

Selain mengkritik isu jurulatih, Owen turut mempersoalkan prestasi barisan pemain sayap England yang dipilih Tuchel kerana dianggap gagal memberikan impak seperti diharapkan.

Sebelum kejohanan bermula, ramai menjangkakan Marcus Rashford, Bukayo Saka, Anthony Gordon dan Noni Madueke bakal menjadi senjata utama England selepas menjadi pilihan berbanding Cole Palmer atau Phil Foden.

Namun, situasi itu tidak menjadi kenyataan apabila hanya Harry Kane dan Jude Bellingham yang tampil konsisten dalam kesebelasan utama.

“Saya fikir kekuatan utama England terletak pada tiga pemain di belakang Harry Kane, tetapi ia tidak menjadi seperti yang diharapkan.

“Sebaliknya Kane dan Jude Bellingham yang menjadi tonggak utama pasukan. Sama ada Rashford, Gordon, Madueke atau Saka, mereka hanya bermain pada tahap memuaskan dan tidak lebih daripada itu.

“Saya juga rasa kalau pemain seperti Foden dan Palmer berada dalam skuad, mungkin kami mempunyai pemain yang lebih berkualiti di posisi itu. Dengan lebih banyak pilihan, pasukan pasti memiliki tenaga tambahan dan idea baharu dalam setiap perlawanan,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN