ATLANTA – Pengurus England, Thomas Tuchel mengakui kegagalan barisan pemain menyerap tekanan menjadi punca misi untuk melangkah ke pentas final Piala Dunia 2026 berakhir selepas tewas 1-2 kepada Argentina, semalam.
Pada aksi separuh akhir itu, England berada di landasan terbaik untuk menamatkan penantian 60 tahun ke final selepas Anthony Gordon meledak gol pembukaan pada minit ke-55, namun dua jaringan lewat Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez memusnahkan impian The Three Lions.
Menurut Tuchel, England menjadi terlalu pasif selepas mendahului sehingga gagal mengekalkan rentak permainan sebaik membuka tirai jaringan sehingga memberi ruang kepada Argentina menguasai pada baki 30 minit perlawanan.
“Kami sangat kecewa kerana sudah begitu hampir (untuk ke final). Selepas menjaringkan gol, barisan pemain gagal mengekalkan rentak dan bermain terlalu bertahan.
“Pemain tidak berjaya menguasai bola dan membenarkan lawan melakukan terlalu banyak hantaran lintang, membuat percubaan serta mencipta peluang. Kami tidak mampu mengekalkan tahap permainan sama selepas mendahului,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas pengendali Chelsea itu mengakui terpaksa memberikan respons dengan melakukan beberapa perubahan taktikal termasuk menggunakan formasi lima pertahanan bagi mengekang asakan bertali arus Argentina.
“Mereka terus melakukan hantaran lintang dan memenangi hampir setiap perebutan bola di udara, jadi kami bertukar kepada lima pertahanan untuk menutup ruang. Kami cuba buat pertukaran untuk membantu pemain pertahanan.
“Saya tidak merasakan pertukaran memasukkan pemain penyerang akan membantu. Masalahnya bukan pada taktikal permainan, sebaliknya kami semakin pasif dan tidak lagi mampu memegang bola,” katanya. – AGENSI














