fbpx
MBAPPE mahu rakan sepasukan memberikan aksi terbaik menentang England untuk memburu kemenangan tempat ketiga sebagai hadiah buat Deschamps. - AFP

Piala Dunia 2026: Buru hadiah perpisahan Deschamps

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MIAMI – Kapten pasukan kebangsaan Perancis, Kylian Mbappe percaya bahawa ketua jurulatihnya, Didier Deschamps layak menamatkan kempen Piala Dunia dengan kemenangan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga menentang England awal pagi esok.

Perancis gagal mara ke perlawanan akhir selepas tewas 0-2 kepada Sepanyol di Stadium Dallas sekali gus menyaksikan impian Perancis dan Deschamps untuk mara ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut tidak kesampaian.

Sebelum kejohanan bermula, Deschamps telah mengumumkan bahawa kempen kali ini merupakan kejohanan terakhirnya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan selepas 17 tahun menabur bakti.

“Sebagai jurulatih dan juga pemain, beliau telah mencipta sejarah yang luar biasa. Kami masih mempunyai satu lagi perlawanan dan kami akan berusaha memberikan persembahan terbaik untuk beliau, kerana beliau memang layak menerimanya.

“Pada masa yang sama, para penyokong juga berhak melihat kami menamatkan kejohanan ini dengan kemenangan dan menduduki tempat ketiga,” kata Mbappe.

Deschamps pernah menjulang Piala Dunia bersama Perancis sebagai pemain pada tahun 1998, sebelum mengulangi kejayaan itu sebagai jurulatih pada Piala Dunia 2018 di Rusia.

Pada Piala Dunia 2022 di Qatar, beliau turut membawa skuad ‘Les Bleus’ ke pentas final, namun tewas kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti.

“Saya bertuah kerana dapat melalui banyak detik indah sebagai pemain. Hari ini bukan salah satu daripadanya. Kami perlu menerima kekalahan ini, tetapi pada masa yang sama kami tidak boleh melupakan segala pencapaian yang telah kami raih bersama,” kata Deschamps selepas Perancis tewas kepada Sepanyol.

Sementara itu, Mbappe juga memburu misi peribadi menjelang perlawanan terakhir pada kempen kali ini selain membantu Perancis memburu kemenangan tempat ketiga sebagai penawar duka.

Mbappe yang kini meledak lapan gol terikat jumlah jaringan bersama bintang Argentina, Lionel Messi menyebabkan dia berhasrat untuk meledak sebanyak mungkin gol untuk memburu Anugerah Kasut Emas.

Empat tahun lalu di Qatar, Mbappe muncul pemenang gelaran tersebut selepas meledak lapan gol dan berazam untuk mempertahankan kejayaan itu pada kempen kali ini. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN