SETIAP generasi dibesarkan dengan kemajuan teknologi berbeza yang secara tidak langsung mempengaruhi cara berfikir, pembentukan identiti dan gaya hidup seseorang.
Bermula dari Boomers yang fokus untuk bekerja keras, kemudian Generasi X yang lebih memilih pencapaian keseimbangan kerja sehingga ke Generasi Y atau Milenial yang tertarik mengutamakan pengalaman daripada pemilikiran barang mewah.
Generasi Z (Gen Z) pula mengutamakan kesihatan mental dan keamanan kewangan, manakala Alpha berada pada zaman integrasi teknologi pesat membangun.
Justeru, membandingkan generasi hari ini dengan terdahulu tanpa memahami latar belakang hanya akan mewujudkan jurang yang semakin besar.
Menurut pakar keibubapaan, Mohd. Fhais Salim, setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah atau istilah sains tabula rasa atau lembaran kertas putih.
Oleh itu ibu bapa, keluarga, persekitaran dan pengalaman hidup yang dilalui sejak kecil membentuk cara pemikiran serta identiti mereka.
Katanya, faktor tersebut yang membezakan Gen Z dan Alpha berbanding generasi terdahulu kerana membesar dalam dunia yang dikelilingi skrin dan teknologi digital.
“Anak-anak hari ini dibesarkan dalam budaya berasaskan skrin seperti televisyen skrin rata, telefon pintar, tablet dan pelbagai gajet lain yang menjadikan mereka hidup dalam budaya serba pantas, mudah dan mengikut permintaan.
“Keadaan ini membentuk cara mereka berfikir dan membina identiti yang berbeza daripada generasi sebelum ini sehingga ramai yang tersilap menganggap generasi muda sekarang malas atau tidak sanggup bekerja keras.
“Hakikatnya, mereka dibesarkan dengan pendekatan berbeza. Generasi terdahulu dididik dengan konsep bekerja keras menggunakan fizikal, tetapi generasi hari ini lebih cenderung kepada pendekatan bekerja secara bijak dengan memanfaatkan teknologi bagi menjimatkan masa dan tenaga,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Mohd. Fhais menolak dakwaan bahawa generasi muda kini khususnya Gen Z sebagai ‘manja’ dan tidak kental kerana sering menyuarakan ketidakpuasan hati di tempat kerja.
“Gen Z tidak manja kerana masalah yang berlaku hari ini adalah kita masih membawa mentaliti dan perspektif lama, kemudian mengharapkan generasi baharu menjadi sama seperti kita dan sekiranya berterusan maka sudah tentu akan timbul konflik.
“Generasi muda hari ini bakal mewarisi masa depan dan jika kita kegagalan memahami cara mereka berfikir ia hanya akan menyukarkan usaha untuk membina masyarakat yang lebih harmoni.
“Jadi ibu bapa dan orang dewasa perlu mengubah pendekatan dengan lebih banyak mendengar kerana cara mereka memproses maklumat dan menyelesaikan masalah menggunakan pendekatan yang berbeza,” katanya.
Tambah Mohd. Fhais, perbezaan perspektif, identiti dan kepercayaan antara generasi perlu diraikan, bukannya dijadikan alasan untuk saling menyalahkan.
Beliau menegaskan komunikasi merupakan kunci utama dalam merapatkan jurang generasi kerana apabila wujud perbincangan dan rundingan, setiap pihak berpeluang memahami sudut pandang yang berbeza sebelum membuat penilaian.
“Apabila komunikasi terputus, masyarakat lebih mudah menghukum, menyalahkan dan gagal mencari penyelesaian kerana masing-masing tetap dengan pandangan sendiri.
“Jadi beri ruang integrasi antara semua generasi untuk saling memahami agar kita dapat membentuk rakyat memahami dan bertimbang rasa antara satu sama lain,” katanya. -KOSMO! ONLINE














