fbpx
TUCHEL mengkritik perlawanan tempat ketiga, namun ia peluang terbaik untuk membuktikan kualiti selepas berdepan kritikan hebat. - AFP

Piala Dunia 2026: Tuchel rombak pasukan bertemu Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MIAMI – Pengurus England, Thomas Tuchel mengakui aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia menentang Perancis awal pagi esok bukanlah perlawanan yang diinginkan oleh mana-mana pemain selepas impian menjulang trofi musnah di pentas separuh akhir.

Selepas tewas 1-2 kepada Argentina, Tuchel secara terbuka mengkritik kewujudan perlawanan penentuan tempat ketiga dan memberi bayangan bakal merombak pasukan pada aksi bertemu Les Bleus nanti .

Menurut Tuchel, kedua-dua pasukan sebenarnya hanya mahu beraksi di pentas final, bukannya merebut kedudukan ketiga.

“Saya rasa tiada seorang pun pemain kami dan tiada seorang pun pemain Perancis mahu bermain dalam perlawanan ini.

“Mereka semua mahu beraksi di final dan kami telah memberikan segala-galanya untuk mencapai impian tersebut. Semua pasukan datang ke Piala Dunia untuk menjadi juara.

“Namun, beginilah hakikatnya. Kami juga mempunyai kurang sehari tempoh pemulihan berbanding Perancis, tetapi kami tetap akan mengharungi aksi tersebut secara profesional,” katanya.

Walaupun kecewa dengan penyingkiran England, Tuchel tetap menganggap kemaraan ke separuh akhir sebagai satu pencapaian yang tidak boleh dipandang rendah.

Bekas pengendali England itu berkata, banyak kuasa besar bola sepak dunia gagal berada dalam kelompok empat negara terbaik seperti yang dilakukan The Three Lions pada edisi kali ini.

“Kami perlu menunggu empat tahun lagi sebelum beraksi di Piala Dunia seterusnya. Mara ke separuh akhir adalah satu pencapaian besar. Banyak negara utama tersingkir lebih awal berbanding kami.

“Namun, saya faham tiada siapa yang mahu mendengar perkara itu ketika ini, termasuk saya sendiri kerana kami sentiasa meletakkan sasaran yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Tuchel turut menegaskan fokus England kini adalah untuk bangkit daripada kekecewaan dan menamatkan kempen dengan kemenangan ke atas Perancis.

“Perkara paling penting sekarang adalah kami bangkit dan memberikan reaksi yang positif. Itulah yang perlu dilakukan dan kami akan turun dengan semangat untuk menamatkan kejohanan ini sebaik mungkin,” ujarnya.

Mengulas mengenai masa depannya, Tuchel turut menjamin perlawanan bertemu Perancis bukanlah aksi yang terakhir sebaliknya kekal komited membimbing England sehingga tamat tempoh kontrak pada Euro 2028.

“Seratus peratus saya mahu kekal mengendalikan pasukan ini. Masih banyak perkara yang boleh kami perbaiki dan saya sangat gembira untuk melakukannya.

“Saya percaya pasukan ini masih mempunyai satu lagi tahap yang perlu dicapai (bergelar juara). Namun, kami perlu meningkat ke tahap seterusnya jika mahu memenangi trofi terbesar,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN