ATLANTA – Juara bertahan, Argentina mempamerkan semangat luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan England 2-1 sekali gus mengesahkan tiket ke pentas final Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.
Dua bantuan jaringan daripada kapten sensasi, Lionel Messi membolehkan Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez muncul wira La Albiceleste yang akan membuat penampilan ketujuh di pentas final serta berpeluang mempertahankan trofi Piala Dunia yang dimenangi pada edisi 2022.
England yang mengimpikan penampilan final pertama sejak muncul juara pada 1966 terlebih dahulu berada di landasan terbaik apabila Anthony Gordon meledak gol pembukaan pada minit ke-55.
Gol tersebut hadir hasil hantaran lintang rendah menarik Morgan Rogers yang disudahkan Gordon untuk menewaskan Emiliano Martinez.
Namun, England gagal mempertahankan kelebihan apabila Argentina melakukan asakan bertali arus pada baki 30 minit perlawanan.
Selepas beberapa peluang berjaya digagalkan Jordan Pickford, termasuk percubaan Nico Gonzalez dan tandukan Alexis Mac Allister yang terkena tiang, Argentina akhirnya berjaya menyamakan kedudukan.
Messi melorongkan bola kepada Fernandez yang melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan Pickford pada minit ke-85.
Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Argentina melengkapkan kebangkitan dramatik pada masa kecederaan menerusi tandukan penyerang gantian, Martinez.
La Albiceleste kini hanya selangkah untuk mempertahankan gelaran dunia apabila bakal membuat perhitungan dengan Sepanyol pada aksi final, awal pagi Isnin depan. – AGENSI














